Juara debat Asia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi pelajaran mengenai demokrasi kepada Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Raden dengan berkata proses demokrasi tidak berakhir selepas wakil rakyat mendapat madat daripada pengundi.

Malah, katanya, proses itu adalah sesuatu yang berterusan untuk memastikan wakil rakyat tidak menyimpang daripada janji-janji mereka.

Syed Saddiq berkata demikian dalam laman Facebook beliau selepas Bung mencabar beliau untuk bertanding dalam pilihan raya sebelum mahu berbahas dengannya.

Beliau berkata semua rakyat Malaysia berhak untuk menegur kerajaan yang memerintah.

"Hak ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan kebebasan bersuara (Perkara 10) yang membantu menentukan kita sebagai sebuah negara bebas. Adalah menjadi tanggungjawab patriotik kita untuk menyuarakan sebarang elemen rasuah dalam negara yang tercinta ini.

"Saya juga percaya jika kita menggunakan prinsip Bung Moktar, lebih sejuta orang terpaksa bertanding di Pekan (kerusi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak)," kata Syed Saddiq.

Bung mencabar Syed Saddiq untuk bertanding pada pilihan raya jika beliau mahu berdebat denganya dan mereka boleh berbuat demikian di Parlimen sekiranya beliau menang.

Ahli parlimen Umno dari Sabah itu berkata beliau tidak berminat untuk berdebat dengan Syed Saddiq.

[Baca berita penuh]