Penggantungan Muhyiddin: Akar umbi Umno lapor ROS
Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) hari ini membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengenai penggantungan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden Umno.
Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Putrajaya, naib presiden GKCM Mohd Solihan Badri berkata, siasatan akan dijalankan.
"Mereka (ROS) menganggap ini sebagai kes besar dan seorang pegawai akan menyiasat surat (kami). Mereka akan melakukan siasatan yang sewajarnya," katanya.
Timbalan Presiden GKCM Mohamad Zin Mustapa berkata laporan itu dibuat kerana Majlis Tertinggi Umno dan setiausaha agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor telah "bertindak sesuka hati" menggantung Muhyiddin.
Beliau menegaskan bahawa perlembagaan parti bukan untuk ditafsirkan mengikut kepentingan peribadi.
"Sejak akhir-akhir ini, Umno bertindak berlebihan dalam menghukum sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan yang bertentangan dengan presiden parti.
"Ini adalah tempoh gelap dalam sejarah Umno," katanya.
Oleh itu, katanya, CGKM meminta ROS untuk menyiasat penggantungan Muhyiddin, yang menurut kumpulan itu adalah jelas bertentangan dengan perlembagaan parti.
"Penggantungan Muhyiddin mempunyai tanda-tanda jelas pengkhianatan," kata Mohamad Zin.

