Hari-hari menjelang tamatnya moratorium bauksit
SUARA MP Dalam tempoh berbaki tujuh hari sebelum tempoh moratorium ke atas bauksit berakhir pada 14 April ini, warga Kuantan masih belum mendapat kepastian berkenaan dengan nasib mereka.
Prosedur pengoperasian piawai (SOP) yang diuar-uarkan oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan Pahang masih kabur dan cetek dan tidak merangkumi penyelesaian kepada semua aspek pencemaran.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi telah mengesahkan dalam sesi penggulungan perbahasan titah diraja bertarikh bahawa beliau bersetuju perihal kualiti air sungai sekitar Kuantan bertambah baik dalam tempoh moratorium berbanding sebelumnya.
(Sila rujuk edaran keputusan analisis kimia kualiti air bagi Sungai Riau, Sungai Mabok, Sungai Pinang dan Sungai Balok yang terletak di kawasan aktiviti perlombongan bauksit.)
Oleh kerana undang-undang tidak mewajibkan EIA ke atas lombong-lombong yang berkeluasan bawah 250 hektar sebelum ini, maka kesemua lesen ke atas lombong bauksit dikeluarkan tanpa memerlukan EIA.
Apabila Perintah Kualiti Alam Sekitar diwujudkan pada bulan Ogos 2015, ia tetap tidak boleh diguna pakai ke atas lombong yang sedia ada kerana perintah tersebut tidak boleh dipakai ke atas lesen yang dikeluarkan sebelum tarikh tersebut.
Maksudnya tidak boleh diaplikasi secara secara retrospektif.
Sewaktu aktiviti perlombongan sedang berjalan warga Kuantan dapat merasakan kesan pencemaran di udara, dan debu di sekeliling mereka.
Mereka juga menyaksikan air laut menjadi merah.
Namun oleh kerana tiada EIA telah dilaksanakan, maka kita semua tidak ada mekanisme mengenal pasti impak sebenar industri perlombongan ke atas alam sekitar dan kesihatan manusia.
Dengan itu cara yang paling baik untuk memastikan keselamatan penduduk Kuantan ialah untuk melaksanakan DEIA ke atas tapak melombong, tapak mencuci bauksit dan juga tapak central stokpile .
Saya menggesa moratorium dilanjutkan sehingga wujud SOP lebih komprehensif yang boleh dilaksanakan melibatkan perlombongan, pemulihan tapak lombong, mencuci bauksit, pengangkutan, menyimpan stokpile sehingga mengalihkan bahan mineral ke atas kapal.
Juga batalkan lesen melombong sedia ada dan diwajibkan permohonan semula yang mana EIA menjadi mandatori.
FUZIAH SALLEH anggota parlimen Kuantan merangkap pengerusi Badan Bertindak Menentang Pencemaran Bauksit.

