Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rosmah: Ibu tunggal perlu belajar kemahiran sebelum berniaga

Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor menyarankan supaya golongan ibu tunggal mengikuti kursus dan latihan bagi melengkapkan diri dengan kemahiran dalam bidang perniagaan sebelum menceburkan diri dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata antara kemahiran yang perlu dipelajari ialah pengurusan kewangan, pemasaran produk dan penggunaan media sosial yang berkesan.

"Statistik di Malaysia menunjukkan sembilan daripada 10 perniagaan yang baru dimulakan akan ditutup dalam masa tiga tahun pertama.

"Kajian mendapati antara punca utama kegagalan ini ialah sikap gopoh usahawan yang mahu memulakan perniagaan tanpa sebarang persediaan," jelasnya.

Rosmah berkata demikian ketika merasmikan Yayasan Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) dan mesyuarat agung kali ketiga PITKM di Putrajaya, yang dihadiri lebih 800 ibu tunggal dari seluruh negara.

Beliau turut menasihatkan golongan ibu tunggal yang ingin menceburi bidang perniagaan supaya memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu kreatif dan inovatif dalam memilih bidang perniagaan, mempunyai impian yang besar dan sentiasa mengamalkan sikap mahu belajar.

Persediaan yang cukup serta sokongan dan bantuan daripada agensi kerajaan dan persatuan berkaitan akan membantu kejayaan golongan ibu tunggal dalam bidang perniagaan, kata Rosmah.

Mengenai Yayasan PITKM, beliau berharap yayasan itu berupaya mendapatkan dana untuk membantu ahli-ahli dalam pelbagai kegiatan seperti pendidikan, kursus, konvensyen, khidmat kaunseling dan juga dalam bidang keusahawanan.

Sementara itu, Presiden PITKM Datuk Melati Ali dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang begitu prihatin dengan masalah dan cabaran dihadapi golongan ibu tunggal di negara ini.

Sokongan diberikan Perdana Menteri membolehkan PITKM yang kini mempunyai lebih 80,000 ahli menubuhkan yayasan itu, selain pemberian kad diskaun sebelum ini telah membantu golongan ibu tunggal menangani kos sara hidup, katanya.

PITKM yang ditubuhkan pada April 2013 bergiat aktif dalam memperkasakan golongan ibu tunggal terutama dari segi ekonomi dan aspek kebajikan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS