Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Lembaga Penasihat yang dilantik Datuk Seri Najib Razak ibarat ‘tungul kayu’ dalam mengurus dan membuat keputusan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahfuz berkata, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Irwan Siregar sebelum ini menyatakan lembaga penasihat 1MDB tidak pernah bermesyuarat dan tidak pernah dirujuk oleh Najib selaku pengerusi lembaga berkenaan.

Perkara itu kata Mahfuz, dinyatakan dalam laporan prosiding pada mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 19 Mei 2015.

“Dalam erti kata lain, Lembaga Penasihat jadi macam "Tongkoi dan tunggui kayu”, katanya dalam loghat Kedah.

Bekas naib presiden PAS itu berkata surat pelantikan ahli lembaga penasihat dari Kuwait, Qatar dan China itu ditandatangani perdana menteri sendiri.

"Ini memalukan Malaysia kerana PM Najib lantik orang luar jadi penasihat. Nama mereka terpampang dalam Laporan PAC tetapi mesyuarat Lembaga Penasihat tidak pernah diadakan.

"Kebimbangan saya ialah jika mereka membuat kenyataan kesal terhadap kerajaan Malaysia yang hanya memperalatkan mereka sebagai Lembaga Penasihat di atas kertas," kata bekas ketua penerangan PAS itu.

Mahfuz berkata Najib juga diberi kuasa untuk memberikan kebenaran bertulis kepada lembaga pengarah bagi perkara membabitkan komitmen kewangan dan pelaburan tanpa merujuk lembaga penasihat.

“Ini menunjukkan semua komitmen kewangan dalam urusan perniagaan dan pelaburan yang boleh memberi kesan kepada jaminan kerajaan hanya dilakukan oleh PM Najib yang juga pengerusi lembaga penasihat tanpa mendapat nasihat dan pandangan ahli lembaga penasihat.

"Najib buat pandai-pandai dia sendiri yang akhirnya penasihat menjadi "punahsihat",” kata Mahfuz.

Justeru, Mahfuz berkata laporan prosiding PAC jelas menunjuk Najib 'terlibat dan tidak boleh dilepaskan'.

“Apa yang perlu ialah siasatan menyeluruh dan bebas mesti dilakukan dengan segera,” ujarnya.