Sekatan bagi elak pembangkang jejaskan perpaduan Sarawak
Tindakan kerajaan negeri Sarawak yang menyekat pembangkang daripada memasuki negeri berkenaan dibuat untuk menghalang mereka daripada memecahbelahkan keharmonian kaum di negeri itu, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz.
Malah, beliau yang adalah menteri pelancongan dan kebudayaan turut bersetuju dengan tindakan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Seri Adenan Satem yang menyekat pembangkang terutamanya anggota DAP daripada melawat Sarawak.
"Saya memahami mengapa ketua menteri Sarawak menghalang ahli DAP Semenanjung pergi ke sana kerana mereka akan guna isu perkauman yang ketara di Semenanjung jika dibandingkan di Sarawak.
"Dia (Adenan) nak kekalkan hubungan yang baik antara komuniti di Sarawak.
"DAP ini parti cauvinis dan perkauman dan akan mewujudkan isu antara rakyat Sarawak. Ketua menteri Sarawak lebih memahami keadaan di Sarawak. Saya sokong usaha dia," katanya dalam sidang media di Putrajaya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung tindakan kerajaan negeri Sarawak yang menghalang pembangkang dari memasuki negeri berkenaan sempena pilihan raya negeri ke-11.
Sebelum ini beberapa anggota daripada parti pembangkang telah dihalang daripada memasuki Sarawak.
Antara mereka ialah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, pencipta maskot UBAH, Ooi Leng Hang, Presiden AMANAH Mohamad Sabu, setiausaha publisiti DAP Tony Pua dan anggota parlimen Seputeh Teresa Kok.

