IGP: Hentikan kenyataan hasutan ceramah Zakir Naik
Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak mengeluarkan kenyataan provokatif mengenai ulama kontroversi Dr Zakir Naik.
Beliau berkata, kenyataan dan hujah-hujah itu boleh mengancam keharmonian agama di negara ini dan polis tidak akan teragak-agak untuk bertindak.
Ketua polis negara itu juga mengulangi bahawa keputusannya mengarahkan forum bertajuk 'Persamaan antara Islam dan Hindu' yang dijadualkan di Melaka pada 17 April ini adalah muktamad.
"Isu ini telah menimbulkan banyak perbahasan, dan saya sedari bahawa beberapa kenyataan sama ada di media sosial atau akhbar adalah berbaur hasutan dan provokasi.
"Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melampaui batas," katanya kepada Malaysiakini .
Khalid berkata, walaupun Islam adalah agama Persekutuan, kontrak sosial mesti dihormati dan sentimen penganut agama lain juga perlu dipelihara.
Oleh itu, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak melontarkan penghinaan atau membuat kenyataan yang merendahkan martabat bangsa lain mengenai isu ini.
"Seperti yang dinyatakan dalam twitter yang saya hantar lebih awal. Keputusan saya adalah muktamad. Forum itu mesti dibatalkan," tegas beliau.
Terdahulu, Khalid menulis tweet bahawa polis akan memanggil pihak penganjur dan mengarahkan mereka untuk membatalkan forum berkenaan.
"Pada pandangan kami, apabila pendakwah membincangkan topik berhubung persamaan antara agama Hindu dan Islam, perbincangan itu tidak boleh lari daripada menyentuh kelemahan agama lain," katanya.

