Bapa pelajar patah tulang leher pertikai gantung sekolah
Bapa kepada pelajar Tingkatan Tiga yang dikatakan retak tulang leher akibat dipukul seorang pelajar Tingkatan Empat sekolah sama, meluahkan rasa tidak puas hati kerana anaknya digantung persekolahan selama dua minggu.
Zulkeflee Yaacob, 50, berkata beliau terkejut kerana pihak sekolah mendahului dalam menjatuhkan hukuman sedangkan siasatan kes itu belum pun selesai.
"Pihak sekolah seharusnya menghantar surat memaklumkan pengantungan anak saya itu. Saya hanya mendapat tahu nasib anak saya ini melalui akhbar sahaja.
"Saya berharap kes membabitkan anak saya ini ditangani dengan baik kerana saya yakin anak saya tidak mempunyai rekod disiplin ...sekiranya betul anak saya bersalah pihak sekolah boleh membuangnya jika perlu," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.
Beliau mendakwa dalam kejadian itu anaknya Aiman Hazim, 15, adalah mangsa buli dan bukanlah pihak yang memulakan pergaduhan sebagaimana didakwa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan sebelum ini.
Zulkeflee mendakwa sehingga kini beliau masih belum dihubungi oleh pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa berhubung penggantungan persekolahan anaknya itu.
Beliau berkata berikutan kejadian itu anaknya kini masih trauma dan tidak dapat duduk ataupun berdiri dengan baik, selain masih terasa kebas di beberapa bahagian badan serta bengkak di leher.
Katanya buat masa ini beliau menyerahkan siasatan kepada pihak polis sebelum merujuk kepada peguam untuk tindakan selanjutnya.
Khamis lalu, Aiman Hazim dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini untuk mendapatkan rawatan selepas mengadu kesakitan selepas mendakwa disepak pelajar tingkatan empat itu dan disahkan retak tulang leher.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Ahmad Taufek Abdullah berkata polis hari ini telah mendapatkan perintah daripada mahkamah untuk menahan reman pelajar tingkatan empat itu untuk membantu siasatan.
"Remaja berusia 16 tahun itu ditahan polis pukul 11.30 pagi kelmarin bagi membantu siasatan," katanya.
-Bernama

