Ceramah Dr Zakir: 40,000 tak berganjak walaupun hujan
Hampir 40,000 orang yang hadir untuk mengikuti ceramah terakhir pendakwah terkenal Dr Zakir Naik di Terengganu, malam tadi tidak berganjak walaupun hujan renyai-renyai.
Program yang diadakan di Padang Astaka di Kemaman itu merupakan ceramah keempat Dr Zakir Naik, sejak tiba di Terengganu pada 9 April lepas.
Kebanyakan mereka yang hadir bermula 7.30 malam itu, tidak berganjak dan setia menunggu beliau memulakan topik syarahan bertajuk 'Muslim Choice - Dakwah or Destruction' (Pilihan Orang Islam, Dakwah Atau Kemusnahan).
Beliau memulakan ceramah pada jam 8.45 malam, dan hujan akhirnya berhenti 15 minit kemudian.
Selain masyarakat berbilang bangsa dan agama, turut hadir mendengar ceramah Dr Zakir Naik ialah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Tinjauan Bernama mendapati ada kalangan yang hadir ialah dari Pahang serta Kelantan.
Sementara itu, menteri besar berkata, Dr Zakir bersetuju menerima pelawaan kerajaan negeri untuk membuka cawangan atau pusat penyelidikan Islam bagi rantau Asia Tenggara di Terengganu.
Katanya, Dr Zakir akan menghantar wakilnya dalam masa terdekat untuk memperhalusi cadangan berkenaan.
Menurut Ahmad Razif, kerajaan negeri menawarkan kepada pihak Dr Zakir tiga pulau di kawasan Tasik Kenyir bagi tujuan pembangunan pusat penyelidikan Islam itu.
"Dr Zakir juga turut meminta idea dan pandangan dari kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas taklimat hakisan Pantai Kampung Tanjung Gelam, di Kuala Nerus semalam.
Ahmad Razif berkata Dr Zakir juga menimbang cadangan untuk membuka sebuah sekolah Islam di kawasan itu kelak.
Dr Zakir berasal dari India yang juga Tokoh Maal Hijrah dua tahun lalu kini dalam rangka jelajah ceramah umumnya di beberapa negeri termasuk Terengganu, Melaka dan Kuala Lumpur.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga bersedia menjadi tuan rumah untuk forum wawacara Islam pada tahun depan.
Jelasnya dalam program tiga hari dua malam itu pihaknya berhasrat mengundang 30 penceramah agama peringkat antarabangsa dan dijangka dapat mengumpul kira-kira 100,000 peserta.
"Inisiatif yang dilaksanakan ini sempena Tahun melawat Terengganu 2017 dan kita akan kumpulkan 30 penceramah antarabangsa ini bagi membincangkan hal berkaitan Islam.
"Ini juga antara promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Terengganu sepanjang tahun melawat Terengganu nanti," katanya. .
- Bernama

