Dr M: Menteri Saudi sedar tak bermakna dia setuju
Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir mengatakan dia sedar dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa wang deposit ke akaun peribadinya adalah derma.
Bagaimanapun itu tidak bermakna menteri itu setuju dengan dakwaan Najib, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Sekiranya penyokong Najib gagal untuk faham, soalannya sama ada al-Jubeir sedar latar belakang dan butiran mengenai sumbangan itu.
"Oleh sebab itu, menteri luar Saudi menjawab, 'Kami sedar derma itu dan ia satu sumbangan tulen tanpa apa-apa jangkaan sebagai balasan'," tulis Mahathir dalam blognya hari ini.
Musuh ketat Najib itu juga menyatakan bahawa al-Jubeir berkata dia sedar peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak menemui sebarang kesalahan Najib.
"Menyedari kenyataan A-G tidak bermakna dia (Adel al-Jubeir) bersetuju dengan kenyataan itu," kata Mahathir menambah bahawa al-Jubeir juga tidak menarik balik atau menafikan komennya sebelum ini yang meragui punca derma RM2.6 bilion itu.
"Media Malaysia yang mentafsirkan bahawa 'dia sedar' sebagai satu penafian bagi kenyataannya yang terdahulu," katanya.

