Pemuda PAS tolak cadangan penubuhan suruhanjaya antara-agama
Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) mengutuk cadangan penubuhan suruhanjaya antara-agama kerana mendakwa ianya mengandungi unsur-unsur yang boleh merosakkan penghayatan umat Islam.
Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) mengutuk cadangan penubuhan suruhanjaya antara-agama kerana mendakwa ianya mengandungi unsur-unsur yang boleh merosakkan penghayatan umat Islam.
DPP mengambil contoh isu murtad yang dibahaskan secara terbuka, terutamanya oleh individu dan kumpulan-kumpulan bukan Islam.
Timbalan Ketua DPP, Idris Ahmad berkata adalah tidak munasabah isu murtad diperbahaskan sebagai satu pilihan kepada orang Islam.
Islam, katanya, melarang sama sekali penganutnya meninggal agama itu.
"Sekali seseorang itu memeluk Islam, dia tidak boleh meninggalkannya. Bagi kita, kalimah syahadah adalah serupa dengan perjanjian jual-beli (S&P) dan mereka yang meninggalkan Islam dianggap mempermain-mainkan agama," katanya ketika dihubungi.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa Islam tidak memaksa sesiapa pun supaya memeluk agama itu dan menerima ajarannya.
Persidangan kebangsaan
Draf cadangan itu, yang dibuat mengikut model penubuhan Suhakam, akan dibentangkan buat pertamakalinya di persidangan peringkat kebangsaan anjuran jawatankuasa pemandu yang dipelopori oleh Majlis Peguam esok, bagi mendapatkan maklumbalas orang awam sebelum memutuskan langkah seterusnya.
Badan Islam bukan kerajaan juga turut memulaukan persidangan dua hari ini atas alasan badan berkanun seumpama itu akan menggangu fungsi pihak berkuasa agama yang sedia ada.
Mereka yang menyokong inisiatif menubuhkan badan itu, yang bermula dengan idea penubuhan majlis antara-agama, menegaskan bahawa badan tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa pengadilan.
Menurut Idris lagi, walaupun wujud kebebasan (beragama) tetapi ianya wujud dalam kebatasannya "seperti memasuki rumah orang...anda tentunya tidak mahu berbuat sesuka hati. Pastinya anda perlu mengikut aturan dalam rumah tersebut."
"Begitu juga, anda tidak boleh memeluk (Islam) dan kemudiannya mempermain-mainnya," katanya sambil menambah bahawa agensi-agensi kerajaan adalah merupakan badan terbaik untuk membincangkan perkara-perkara seumpama itu.
"Perkara (cadangan) itu sepatutnya dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam kerana ia menyentuh secara langsung mengenai sensitiviti Islam dan umat Islamnya," tegasnya.
Tidak mendapat jemputan
Ditanya sama ada beliau akan menghadiri persidangan itu yang akan berlangsung esok, Idris berkata beliau tidak menerima sebarang jemputan.
"Tetapi kami akan mengkaji perkembangannya dan mengikuti maklumbalas daripada persidangan itu sebelum memutuskan sama ada kami akan membuat bantahan terhadap inisiatif tersebut," tegasnya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bertanggungjawab mendraf Perlembagaan Persekutuan kerana mentakrifkan orang Melayu sebagai orang Islam.
Pada bulan Mei tahun lalu, Jawatankuasa Penyelaras Bersekutu bagi Badan Islam Bukan Kerajaan (Accin) secara terbuka membantah keras penubuhan badan antara-agama itu dan akan bertindak memulaukan perbincangan seterusnya.
Bantahan Accin yang menyebut mengenai memorandum yang dihantar kepada Suhakam oleh Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian dan Sikh (MCCBCHS) pada 2001, pada umumnya atas alasannya ianya anti-Islam.
Memorandum itu mencatatkan masalah-masalah yang dihadapi oleh bukan Islam untuk bebas mengamalkan agama mereka masing-masing dan versi ringkas aduan itu kemudiannya dihantar kepada Majlis Peguam.
Accin tidak dapat dihubungi sejak minggu lalu untuk mendapatkan ulasannya mengenai perkara tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.