'Berbohong kepada PAC boleh dipenjara hingga tiga tahun'
Mereka yang berbohong kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, kata Ahli Parlimen Selayang, William Leong.
Ahli parlimen PKR memetik Seksyen 20 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 yang menyatakan bahawa mereka yang memberi keterangan palsu ke Dewan Rakyat atau mana-mana jawatankuasanya boleh didakwa di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan kerana memberi keterangan palsu.
Ini adalah berhubung laporan PAC mengenai 1MDB, dan maklumat yang tidak selaras termasuk kenyataan International Petroleum Investment Companya (IPIC) bahawa firma itu tidak mempunyai kaitan dengan Aabar British Virgin Islands.
"Mereka yang telah memberi keterangan di hadapan Ketua Audit Negara dan PAC tidak bercakap benar," kata Leong yang juga adalah anggota PAC.
"Pengumuman IPIC seterusnya mendedahkan bahawa mereka yang memberi keterangan di hadapan Ketua Audit Negara dan PAC menyembunyikan maklumat penting dan memberi keterangan palsu serta mengelirukan," katanya pada sidang akhbar di luar lobi Parlimen hari ini.

