Otai Reformis, perkumpulan individu yang terlibat menggerakkan reformasi 1998, mendesak PKR bertindak terhadap pemimpinnya yang bersekutu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mereka membangkitkan nama Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden Rafizi Ramli dan Tian Chua yang terlibat dalam Deklarasi Rakyat bagi mendesak pengunduran perdana menteri.

Setiausaha Otai Reformis Abdul Razak Ismail mengingatkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan kali pertama ketika era Mahathir.

Malah, katanya, sehingga kini, Mahathir tidak bersetuju untuk membantu membebaskan bekas ketua pembangkang yang sedang dipenjarakan di Sungai Buloh.

"Saya sebagai individu menyarankan (Datuk Seri) Wan Azizah Wan ismail, presiden PKR mengambil tindakan gantung jawatan Azmin Ali, Rafizi Ramli, Tian Chua kerana kita lihat mereka mengkhianat perjuangan dan agenda parti itu.

"Gantung dan hadapkan ke jawatankuasa disiplin parti.

"(Kerana) apabila kita lihat kepimpinan PKR ini sudah bersekongkol dengan Mahathir dan konco-konconya, maka, ia merupakan satu bentuk pengkhianatan dan mensabotaj kepada presiden PKR itu," katanya.

Beliau berkata dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Ramai daripada kalangan Otai Reformasi yang membantah pemecatan Anwar lebih 18 tahun lalu kini menyertai PKR.

Abdul Razak juga mempertikaikan tindakan pemimpin PKR yang kini bukan sahaja bersama Mahathir tetapi turut mengangkat bekas perdana menteri itu sebagai idola.

"Mana mungkin Anwar disumbatkan di penjara Sungai Buloh tetapi pimpinan PKR yang saya sebutkan tadi mengangkat seorang atuk yang berumur 91 tahun sebagai idola mereka," katanya lagi.

Sementara itu Penasihat Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin pula melahirkan rasa kecewanya apabila mendakwa Mahathir masih lagi 'memfitnah' Anwar.

"Kami kesal dengan perkembangan ini dan desak semua pemimpin yang mempergunakan nama rakyat muhasabah segera.

“Mahathir harus tampil memohon maaf dan memulangkan semua 'rompakannya'," kata bekas pemimpin pusat PKR itu.

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Pengerusi Otai Reformis Saari Sungib memberitahu bahawa kenyataan yang dibuat Abdul Razak berhubung gesaan terhadap pimpinan PKR itu merupakan pandangan peribadinya dan bukan gerakan tersebut.

Saari yang juga ADUN Hulu Kelang itu turut menjelaskan bahawa gerakan itu pernah berbincang tentang isu berhubung pimpinan Pakatan Harapan yang 'bersama' Mahathir tetapi masih belum membuat sebarang keputusan.

"Itu pandangan peribadi dia, bukan daripada kita. Kita ada bermesyuarat mengenai perkara itu tapi kita menangguhkan keputusan kita," katanya ringkas.