BERITA Malaysiakini

Muhyiddin: Keadaan makin buruk, tukar orang ini

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Umno akan hilang kuasa dalam pilihan raya depan jika terus mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata bekas timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam wawancara bersama agensi berita antarabangsa Reuters , Muhyiddin berkata, sejak 2014 beliau telah berulang kali membangkitkan kebimbangan berhubung dakwaan skandal 1MDB tetapi ditolak.

Begitu juga dengan kemasukan wang AS$681 juta ke dalam akaunnya pada 2015, kata Muhyiddin ( gambar ) lagi.

“Saya mungkin dilihat sebagai penentang... tetapi saya beri amaran dan peringatan kepada kepimpinan Umno, jika kamu tidak singkirkan dia, dia akan jadi liabiliti dan kamu akan kalah dalam pilihan raya depan.

“Keadaan makin buruk dan kamu harus tukar orang ini,” beliau dipetik sebagai berkata.

Najib menafikan sebarang salah laku atau menggunakan wang itu untuk kepentingan peribadi.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali pula berkata wang itu adalah sumbangan daripada Arab Saudi.

Jurucakap perdana menteri dalam kenyataan kepada Reuters berkata Muhyiddin disingkirkan kerana “cuba menghasut anggota parti menyingkirkan perdana menteri berdasarkan dakwaan yang terbukti salah”.

“Ahli politik yang berani melakukan sesuatu harus berani menerima akibatnya,” Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad dilaporkan sebagai berkata.

[Baca berita asal]