Nik Aziz bantah cadangan tubuh suruhanjaya antara agama
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini membantah cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IRC) kerana penubuhannya hanya akan menimbulkan masalah.
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini membantah cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IRC) kerana penubuhannya hanya akan menimbulkan masalah.
Katanya, perkara yang sama telah berlaku di negeri-negeri Arab dan laporan dari sana menunjukkan mereka akan cuba menimbulkan masalah dengan berselindung di sebalik nama suruhanjaya itu.
"Bagi orang Islam hanya Islam sahaja agama yang betul dan kita boleh berdialog dengan sesiapa sahaja (jika timbul keperluan)," kata beliau yang juga Mursyidur Am PAS.
Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas laporan bahawa pelbagai pihak membantah cadangan Majlis Peguam menubuhkan suruhanjaya itu kerana disifatkan cuba mencampuri urusan agama Islam.
Sebelum itu, beliau menghadiri sidang media mengenai Syarikat Ladang Sungai Terah Sdn
Bhd, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan di Kota Bharu.
Menurut Bernama , Nik Aziz mendakwa pihak yang mahu menubuhkan suruhanjaya sebenarnya hanya ingin menimbulkan masalah dengan bertopengkan nama suruhanjaya itu.
Persidangan kebangsaan penubuhan IRC yang bercirikan Suhakam, anjuran Majlis Peguam di Bangi yang dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini.
Mencampuri urusan
Sebelum itu, pelbagai pihak membantah keras cadangan penubuhan IRC itu, malah berpendapat usaha Majlis Peguam itu patut dikecam kerana dianggap cuba mencabar Islam, seterusnya memusuhi undang-undang syariah dengan berselindung di sebalik badan badan perundingan tersebut.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datin Paduka Zaitoon Othman dilaporkan berkata, pihaknya membantah cadangan tersebut kerana penubuhan IRC memperlihatkan usaha mencampuri urusan dan amalan umat Islam di kalangan mereka bukan Islam.
Sebaliknya, kata beliau, PPMM tidak membantah sebarang dialog antara agama bagi menggalakkan hubungan harmoni antara penganut agama di negara ini.
"Tetapi PPMM membantah persidangan tersebut dan penubuhan IRC,'' tegasnya semalam.
Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah, Sheikh Abu Bakar Awang pula berkata, Majlis Peguam tidak perlu sibuk mencampuri urusan agama kerana ia bukan fungsi dan matlamat penubuhannya.
Katanya, Majlis Peguam tidak berhak untuk menasihati atau berperanan sebagai badan perunding dalam urusan agama kerana setiap agama telah mempunyai badan tersendiri menguruskan hal ehwal agama masing-masing.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman yang dilaporkan berkata, beliau tidak menyokong cadangan itu kerana berpendapat penubuhan suruhanjaya berkenaan adalah tidak perlu.
Keharmonian antara agama
"Fungsinya tidak sama seperti Suhakam. Apa yang dapat ia dilakukan hanya sekadar mempengaruhi kerajaan berhubung perkara berkaitan agama,'' katanya.
Naib Presiden Kebangsaan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Yusri Mohamad pula berkata, pihaknya berpendirian tegas tidak bersetuju dengan usaha itu kerana wujudnya kecenderungan untuk mencampuri isu-isu dalaman agama lain.
Katanya, ABIM telah pun menarik diri daripada menganggotai Jawatankuasa Pemandu IRC dan menafikan laporan media bahawa pertubuhan itu masih menganggotai jawatankuasa tersebut dan kononnya menyokong penubuhannya.
Yusri berkata, isu keharmonian antara agama dan isu-isu yang berkaitan perlu ditangani dari perspektif agama bukannya dengan pendekatan undang-undang dan hak asasi manusia semata-mata seperti yang dianjurkan IRC.
Dalam perkembangan yang sama, Presiden Pergerakan Keadilan Dunia (JUST), Dr Chandra Muzaffar juga dilaporkan berkata, beliau menarik diri daripada proses penubuhan majlis antara agama itu pada 2003 kerana Majlis Peguam mendesak untuk menjadi penerajunya.
Katanya, sesetengah kumpulan Islam berpendapat objektif menyeluruhnya ialah untuk menangani isu-isu pecah-belah, yang patut diselesaikan di kalangan masyarakat.
Tegasnya, dialog antara agama tidak harus dimulakan dengan isu-isu pecah-belah seperti murtad, tetapi sesetengah peguam yang terbabit dalam kes itu mencari penyelesaian mengikut undang-undang dan tidak mempunyai latarbelakang dalam soal berkaitan antara agama.

