Umno cabar Lim jadi anak jantan, saman Rahman
Umno Pulau Pinang mencabar ketua menteri Lim Guan Eng supaya memfailkan saman terhadap Pengarah Komunikasi BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan kerana memfitnah.
Ketua Pemudanya, Rafizal Abdul Rahim berkata setiausaha agung DAP itu perlu menjadi 'anak jantan' dan membawa Rahman Dahlan ke mahkamah untuk membuktikannya menjadi mangsa fitnah.
"Guan Eng memang terkenal dengan sikap suka mengambil tindakan undang-undang tetapi kali ini dia dilihat agak pasif untuk memfailkan saman terhadap Rahman Dahlan sedangkan sudah lebih sebulan isu pembelian rumah banglo dan Taman Manggis didedahkan.
“Guan Eng dilihat hanya aktif membalas segala tuduhan dan dakwaan melalui media sosial dan kenyataan media tetapi mengapa tiada tindakan saman?
“Kalau Guan Eng betul maka tidak ada apa yang perlu ditakutkan. Berani kerana benar, takut kerana salah. Silalah jadi anak jantan, jangan hanya berani berkokok di luar gelanggang,” ujarnya seperti dilapor Umno-Online.
Rahman Dahlan baru-baru ini mencabar Lim supaya memfailkan saman atas dakwaan memfitnah kerana mendakwa dirinya sengaja tidak mahu meneruskan debat secara terbuka mengenai isu Taman Manggis.
Beliau dalam kenyataannya berkata, sekiranya Lim merasakan apa yang telah didedahkan itu sebagai fitnah, beliau berbesar hati untuk berjumpa Lim di mahkamah.
Bagaimanapun pemimpin DAP itu menyifatkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu sebagai terdesak.
"Dia tahu jika saya saman dia kerana fitnah, dia akan mudah menggunakan alasan subjudis sebagai sebab untuk tidak berdebat dengan saya," kata Lim.
Kontroversi Taman Manggis tercetus selepas Umno mendakwa jualan tanah itu mempunyai kaitan dengan pembelian banglo oleh Lim bernilai RM2.5 bilion di Jalan Pinhorn.
Banglo berkenaan dibeli di bawah harga pasaran.
Debat antara mereka dibatalkan berikutan nasihat polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat kes itu.
Lim menafikan tuduhan itu dan mendakwa ia adalah kerja-kerja musuh politiknya.

