Dua calon Cina BN intai jawatan TKM Sarawak
Sumber BN hari ini mendedahkan kedua-dua calonnya di Batu Kawah, Profesor Datuk Dr Sim Kui Hian dan calon terus di Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh sedang mengintai jawatan timbalan ketua menteri yang secara tradisinya dikhaskan kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Bukan menjadi rahsia bahawa Wong mahu jawatan berkenaan yang kosong berikutan kekalahan presiden SUPP ketika itu, George Chan pada pilihan raya negeri 2011.
Manakala Sim, presiden SUPP sekarang - yang mendiang bapanya, Tan Sri Sim Kheng Hong adalah timbalan ketua menteri selama 16 tahun - kini dikatakan juga berminat dengan jawatan tersebut.
Sumber yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata Sim dan Wong adalah sasaran utama tindakan sabotaj dalam kempen kali ini yang dikesan secara meluas di sekurang-kurangnya satu pertiga daripada 82 kerusi DUN.
"Jika Sim menang pada pilihan raya negeri, maka Wong dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) akan lenyap. Begitu juga, jika Wong menang, SUPP tidak mampu lagi bertahan," kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Sumber berkenaan sebelum ini telah mendedahkan bahawa kedua-dua BN dan sekutu parti serpihan mereka telah mengarahkan ahli masing-masing supaya bertanding sebagai calon Bebas.
Kuota timbalan ketua menteri diperuntukkan kepada SUPP, yang lazimnya diserahkan kepada presiden parti itu.
Wong mengidamkan jawatan itu sejak 2011 tetapi ketua menteri hanya melantiknya sebagai menteri kanan - jawatan kabinet negeri yang diwujudkan selepas pilihan raya lalu - selepas Wong meninggalkan SUPP, kata sumber itu.
"Daripada apa yang saya tahu, tiada parti yang mahu menerimanya sebagai ahli kali ini walaupun jika beliau mengekalkan kerusinya di Bawang Assan.
“Jika ini berlaku, ketua menteri tidak akan melantiknya."

