Pemilik tanah Kampung Baru perlu menjual tanah mereka kepada mana-mana pihak yang mahu membelinya supaya mereka mendapat manfaat dan keuntungan maksimum daripadanya, kata Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Astaman Aziz.

Katanya, pemilik tanah boleh menjual tanah mereka kepada sesiapa yang menawarkan harga paling tinggi kerana kerajaan tidak ada hak untuk menghalangnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, harga tanah di Kampung Baru tidaklah semahal seperti di beberapa kawasan sekitarnya, termasuk tapak Menara Kembar Petronas (KLCC).

"Harga semasa tanah Kampung Baru ialah RM100 sekaki persegi. Harga tanah di KLCC pula ialah RM640 sekaki persegi. Tanah kampung Baru adalah tanah pertanian, tanah KLCC tanah komersil," katanya.

Kawasan Kampung Baru seluas 244 hektar merupakan tanah Penempatan Pertanian Melayu (MAS), iaitu tanah yang tidak boleh dijual kepada orang bukan Melayu.

MAS yang ditubuhkan pada 1900 di bawah Enakmen Tanah 1897, tertakluk kepada sebuah lembaga yang diketuai oleh Menteri Besar Selangor. Ia diadakan khusus untuk melindungi kepentingan tanah orang Melayu.

Berikutan penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1971, tanah Kampung Baru diletakkan di bawah pentadbiran Kuala Lumpur dan lembaga tersebut dipengerusikan pula oleh Datuk Bandar.

Ramai pewaris

Astaman, yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Titiwangsa berkata, pemilik tanah dan penduduk Kampung Baru perlu merebut peluang pembangunan semula kawasan tersebut yang akan dimajukan kerajaan.

"Harga yang kerajaan tawarkan ialah RM100 sekaki persegi sudah tinggi jika mahu dinilai dengan status tanah MAS. Jadi tidak ada sebab pemiliknya tidak mahu menjualnya kepada pemaju," katanya.

Beliau berkata, jika pemilik tanah terus mempertahankan hak milik mereka dengan mengharapkan akan ada pembeli yang menawarkan harga tinggi, "itu semua hanyalah impian kosong sahaja"

Menurutnya, masalah yang berlaku dalam pembangunan semula Kampung Baru melibatkan aspek perundangan kerana terdapat terlalu ramai pewaris bagi sebidang tanah.

"Bayangkan, oleh kerana tanah ini milik turun temurun, seorang pewaris hanya mendapat 10 kaki persegi. Apa yang boleh dibuat dengan tanah seluas itu?

"Jadi untuk keuntungan, mereka adik beradik perlu menjual tanah tersebut kepada pihak-pihak lain yang mahu membeli tanah mereka untuk pembangunan," katanya lagi.

Astaman juga menyelar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menurutnya cuba menghasut pemilik tanah Kampung Baru supaya jangan menjual tanah mereka kononnya akan menyebabkan identiti dan pegangan mereka hilang.

Hadi Awang ditegur

Hadi dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub mengadakan majlis dialog dengan para pemilik tanah dan penduduk Kampung Baru Ahad lalu untuk mendengar sendiri masalah pembangunan Kampung Baru yang tertangguh sekian lama.

"Hadi tidak mempunyai tanah di Kampung Baru. Dia datang hanya untuk mendapatkan sokongan politik dari penduduk. Tetapi orang yang datang itu bukan pemilik tanah, mereka penyewa di Kampung Baru," katanya.

Sementara itu, Astaman mahu pembangunan semula Kampung Baru dibuat oleh sebuah perbadanan milik kerajaan bagi memastikan kejayaannya.

Beliau berkata, dengan cara itu sahaja pembangunan semula Kampung Baru akan berjaya sepertimana yang dikehendaki oleh pemilik tanah dan penduduk setempat.

"Saya mencadang ditubuhkan sebuah perbadanan seperti Perbadanan Putrajaya yang bertanggungjawab memajukan Kampung Baru. Saya bimbang, jika dimajukan pemaju, akan berlaku penyelewengan," katanya.

Astaman berkata demikian sebagai menjawab rungutan penduduk Kampung Baru bahawa mereka tidak yakin pembangunan semula akan memberikan keuntungan kepada mereka.

Sebaliknya, mereka bimbang hak milik mereka akan terlepas kepada pihak lain, terutama kepada badan korporat gergasi milik bukan Melayu ataupun pelabur luar negara.

Bimbang ditipu lagi

Penduduk Kampung Baru juga tidak puashati dengan pampasan tanah pada kadar RM100 sekaki persegi, yang menurut mereka terlalu murah, sedangkan kawasan lain menjangkau sehingga RM500.

Semalam malaysiakini melaporkan pemilik tanah dan penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur bimbang mereka akan ditipu lagi oleh pihak tertentu yang mengambil kesempatan dan berkepentingan dari pembangunan semula Kampung Baru yang akan dilaksanakan oleh kerajaan.

Mereka mendakwa, pembangunan Kampung Baru bukan baru, malah pada sekitar awal tahun 1990-an, kerajaan pusat telah mengumumkan Pembangunan Kampung Baru akan dilaksanakan oleh Koperasi Kijang Emas Berhad, koperasi milik penuh Bumiputera.

Seorang pemilik tanah di situ, Roshilah Ismail berkata, penduduk tidak mahu apa yang berlaku sebelum ini, berulang lagi meskipun kerajaan memberi jaminan kepentingan mereka terbela.

"Saya mempunyai pengalaman yang amat pahit kerana beberapa pemimpin Umno menggunakan isu pembangunan Kampung Baru untuk membeli tanah penduduk dengan harga yang terlalu murah," katanya.

Beliau mendakwa dua pemimpin Umno yang berpengaruh di Kuala Lumpur itu, telah menipu keluarganya dengan membeli tanah dengan murah atas atasan untuk pembangunan semula Kampung Baru.

Baru-baru ini Menteri Pembangunan Wilayah Persekutuan Tan Sri Isa Samad mengumumkan kerajaan melalui sebuah konsortium, akan melaksanakan pembangunan semula Kampung abru dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, masalah pengambilan tanah Kampung Baru sudah selesai dan kini hanya menunggu masa untuk dimajukan.