Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib ingatkan rakyat cerita '40,000 pengundi Bangladesh'
Diterbitkan:  May 4, 2016 6:42 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan pengundi di Sarawak bagaimana pembangkang yang didakwanya menjaja cerita untuk mengelirukan rakyat menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Mengimbas kembali kepada pilihan raya umum lalu, katanya: “Kita mesti berhati-hati dalam saat akhir (berkempen), isu-isu tertentu akan dilontarkan seperti mana yang berlaku dalam pilihan raya umum ke-13 yang mana pembangkang viralkan bahawa kita import 40,000 pengundi dari Bangladesh untuk mengundi.”

“Isu itu terlalu hangat pada ketika itu sehingga membuat orang marah dengan BN. Walhal, selepas pilihan raya, mereka sedar bahawa itu merupakan satu penipuan besar,” katanya yang dipetik oleh portal Umno Online.

Najib, yang juga pengerusi BN, berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet di Wisma Bapa Malaysia, Kuching petang ini.

Sehubungan itu, perdana menteri menggesa pengundi di Sarawak supaya berhati-hati dengan tuduhan sedemikian.

Beliau berkata pembangkang sering melancarkan perang psikologi semasa pilihan raya bagi mengelirukan pengundi.

Oleh itu, menurut Najib, pengundi perlu membezakan apa yang boleh diterima dan dilaksanakan, dan bukan hanya sesuatu yang membakar sentimen dan perasaan rakyat supaya menghentam kerajaan.

“Mereka (pembangkang) sedar kalau tidak boleh meyakinkan pengundi, sekurang-kurangnya mereka mengelirukan mereka (pengundi).

“Itu adalah taktik perang psikologi parti pembangkang. Ini sudah terbukti dalam beberapa pilihan raya sebelum ini,” katanya.

Najib juga berkata beliau sentiasa bersama Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem bagi memastikan kemenangan semua parti komponen BN Sarawak pada pilihan raya negeri.

“Jangan menganggap kemenangan dalam tangan. Kita mesti memastikan segala usaha dilakukan sedaya upaya. Insya-Allah BN akan mencapai kejayaan sekali lagi,” katanya.

Pilihan raya negeri Sarawak akan berlangsung 7 Mei ini yang menyaksikan pengundi memilih 80 calon untuk mengisisi 82 kerusi di Dewan Undangan Negeri.

BN memenangi dua kerusi tanpa saingan pada hari penamaan calon.

Mereka dijangka mengekalkan pemerintahan di Sarawak dengan penganalisis politik meramalkan kemenangan lebih besar berbanding pilihan raya sebelum ini.

Lihat Komen
ADS