Kemelut yang menimpa Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) yang dianggotai oleh ahli-ahli PAS, berterusan apabila Tribunal Pertubuhan Koperasi memutuskan bahawa perlantikan lembaga pengarah Kohilal sekarang adalah tidak sah.

Pada 21 Februari lalu, Pengerusi tribunal itu, Sapini Mat Saman, memutuskan bahawa mesyuarat lembaga pengarah Kohilal pada 28 Februari tahun lalu, yang meluluskan undi tidak percaya terhadap pengerusi sebelumnya, Ahmad Radzi Abdullah dan setiausaha Zakaria Abdul Aziz adalah "batal dan tidak sah".

Beliau juga mengisytiharkan bahawa perlantikan pengerusi sekarang Saidon Othman dan setiausaha Md Shukor Aziz (dalam mesyuarat yang sama) adalah "tidak sah", dan melantik semula Ahmad Radzi dan Zakaria ke jawatan asal mereka.

Peguam Hasnan Hamzah yang mewakili Ahmad Radzi, memberitahu malaysiakini bahawa tribunal tersebut membuat keputusan itu selepas mendapati mesyuarat lembaga pengarah itu tidak mengikut keperluan dan prosidur dalam perlembagaan Kohilal.

Katanya, tribunal itu menerima hujahnya bahawa mesyuarat lembaga pengarah itu tidak sah kerana tidak cukup korum dan ahli-ahlinya juga tidak mempunyai locus standi kerana tidak layak menduduki lembaga pengarah kerana memiliki saham bernilai kurang daripada RM2,000 jumlah minimum yang diperlukan untuk menjadi ahli lembaga pengarah.

Status quo

Menurut Hasnan, keputusan tribunal itu turut menjejaskan semua keputusan pentadbiran dan kewangan yang dibuat oleh lembaga pengarah yang dipengerusikan oleh Saidon sejak 28 Februari tahun lalu.

"Jadi, ia balik kepada stutus quo. Di segi undang-undang, pelanggan saya kini boleh menduduki dan mengetuai lembaga pengarahnya," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Ditanya sama sama Ahmad Radzi telah kembali bertugas, Hasnan berkata beliau tidak tahu tetapi dimaklumkan bahawa terdapat perbincangan antara pelanggannya dengan ahli lembaga pengarah (yang kini dibatalkan), yang dikendalikan oleh pegawai-pegawai Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK).

"Pelanggan saya memberitahu saya bahawa JPK telah memanggil mesyuarat tersebut pada 26 Februari bersama dua pihak yang bertelingkah. Tetapi saya tidak tahu apakah hasil mesyuarat tersebut kerana tugas saya berakhir selepas tribunal tersebut membuat keputusannya," tegasnya.

Manakala Md Shukor mengesahkan telah menghadiri mesyuarat tersebut bersama Ahmad Radzi Sabtu lalu, serta menyatakan rasa kesalnya kerana kedua belah pihak terbabit tidak dapat mencapai kesefahaman berhubung isu tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas berhubung maklumat bahawa enam orang responden yang dinamakan dalam tuntutan tersebut sedang menimbang untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap keputusan tribunal berkenaan.

"Kami mahu membincangkan isu tersebut terlebih dahulu. Jika boleh, kami mahu menyelesaikannya di luar mahkamah. Buat masa ini, saya tidak dapat mengesahkan apa-apa. Mungkin perkara ini akan menjadi lebih jelas lagi minggu depan," tegasnya.

Lagi dakwaan

Sementara itu, sumber-sumber dalam PAS mendakwa, pertikaian antara kedua belah pihak terbabit ada kaitan dengan kegagalan pelaburan Kohilal yang dibuat di antara tahun 1996 dan 1999 yang mengakibatkan kerugian RMRM46.5 juta.

Seorang ahli politik dari Kuala Lumpur yang enggan namanya disebut, mendakwa, Ahmad Radzi telah dipinggirkan kerana beliau tidak berminat untuk menyiasat kegagalan pelaburan tersebut.

"Ini bertentangan dengan kehendak ahli-ahli yang mahu siasatan terperinci dijalankan. Tetapi entah macam mana, tindakannya (Ahmad Radzi) ketika itu, telah menyukarkan untuk sebarang siasatan dibuat," katanya.

Bagaimanapun, seorang kenalan Ahmad Radzi menolak dakwaaan itu, tetapi meminta supaya namanya tidak disiarkan.

"Ahmad Radzi adalah seorang yang lantang. Beliau mahu mencari akar umbi masalah sehingga mengakibatkan kerugian itu, yang berlaku sebelum beliau menjadi pengerusinya. Beliau mahu membetulkan keadaan. Tindakan itu membuat ramai pihak yang tidak senang dengannya, dan kerana itulah, mereka mencari jalan untuk menyingkirkannya," katanya.

Manakala ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, pihak parti akan melakukan sebaik mungkin untuk mencari penyelesaian bagi para pelabur yang terbabit.

"Kita sedang mengambil tindakan. Sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan dan akan mengemukakan laporan kepada jawatankuasa pusat parti pada 13 Mac," katanya ketika dihubungi.

Isu salah pengurusan Kohilal itu dibangkitkan dalam mesyuarat-mesyuarat parti dan ianya dijangka dibangkitkan lagi dalam muktamar PAS akan datang yang dijadualkan pada 1 hingga 5 Jun depan.

Lembaga pengarah koperasi tersebut, yang ketika itu dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS, Senator Hassan Shukri, telah meletakkan jawatan beramai-ramai pada bulan Jun 2002 selepas timbul rasa tidak puas hati di kalangan ahli berhubung isu tersebut. Hassan menjadi pengerusi Kohilal mulai tahun 1996.