Most Read
Most Commented
Read more like this

Penahanan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah satu bentuk undang-undang paling zalim yang masih wujud pada zaman moden ini. Tindakan kerajaan menangkap dan menahan kami jelaslah bermotifkan politik.

Tahanan selama 60 hari itu memberi peluang kepada polis Cawangan Khas untuk meracuni fikiran tahanan ISA ketika soal siasat. Siasatan itu bertujuan mengumpul maklumat. Bagaimanapun, soal siasat berkenaan tidak ada kaitan dengan aktiviti tahanan yang dianggap melanggar undang-undang atau mengugat keselamatan awam.

Seperti yang ditunjukkan dalam perintah tahanan, 'jenayah' yang kami lakukan itu tidak disokong butir-butir yang kukuh dan bukti sahih. Jelas, hukuman sudah diputuskan sebelum penyiasatan terhadap kami habis.

Sungguhpun ia ditulis dalam buku berkanun, ISA tidak menjadi undang-undang yang sah dan munasabah. Ini kerana tatacaranya tidak serasi dengan proses undang-undang yang sah. Akta ini sebenarnya memberi kuasa mutlak kepada diktator zalim untuk melakukan penganiayaan dan mencabuli hak serta kebebasan seseorang.

Dalam kes kami, ISA menjadi alat bagi mengesahkan penculikan bermotifkan politik oleh seorang diktator. Kami menjadi tebusan di tangan pemimpin yang gilakan kuasa.

Nampaknya, Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Dalam Negeri, Abdullah Badawi menandatangani perintah tahanan kami dalam keadaan tergesa-gesa pada 2 Jun lalu - hari cuti umum. Oleh itu, Abdullah terpaksa bekerja lebih masa bagi memastikan kami bersalah dan dihumban ke dalam kurungan. Tindakan Abdulah ini amat memalukan imej seorang TPM dan ia hanya bertujuan mengukuhkan kuasa Dr Mahathir Mohamad semata-mata.

Pembebasan kami di tangan rakyat

Pihak berkuasa cuba melemahkan penyiasatan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap penahanan yang tidak sah dengan mengeluarkan perintah tahanan dan mengenakan penjara dua tahun ke atas kami. Ini bermakna kerajaan sudah melakukan penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang.

Oleh itu, saya tidak fikir rayuan kami kepada 'lembaga penasihat' akan memberikan sebarang keputusan yang positif. Penubuhan lembaga penasihat di bawah undang-undang yang mencabuli hak asasi manusia sebenarnya memperolok-olokkan orang awam dan satu sindiran kepada sistem perundangan kita.

Kami tidak fikir lembaga penasihat tersebut boleh memberi jalan secara adil dan munasabah terhadap rayuan kami. Malah sepanjang penahanan kami, pengawai yang menjalankan soal siasat itu sendiri menjelaskan lembaga itu hanyalah berfungsi sebagai mekanisme dalaman untuk memberi perimbangan (check-and-balance).

Jelaslah semua keputusan berkaitan dengan ISA bermotifkan politik. Kami tidak boleh mengharapkan rayuan berdasarkan belas kasihan mereka atau rasional perundangan. Pembebasan kami bergantung kepada kekuatan sokongan daripada rakyat semata-mata. Kami tidak harus berharap jasa baik lembaga penasihat untuk membebaskan kami.

Kita semua akan menikmati kebebasan sepenuhnya selepas akta ISA dimansuhkan.

Walaupun tempoh tahanan selama 14 hari belum tiba (penulis ini dihantar ke kem Kamunting pada 2 Jun - editor), kami tidak menafikan kemungkinan ke hadapan lembaga penasihat. Kami akan membuat pilihan strategik dan taktikal bagi memaksimumkan dampak politik tanpa menghalalkan lembaga penasihat dan peranan ISA.

Biarpun apa keputusan kami, lembaga penasihat sebenarnya tidak akan mempunyai kuasa sama ada menggantung atau menyambung penahanan kami. Akta zalim itu jelas menyatakan segala kuasa ada pada tangan Menteri Dalam Negeri. Namun, nasib kami bergantung kepada sokongan padu rakyat. Kita yakin bahawa ISA akan dipijak-pijak oleh rakyat yang berusaha menegakkan sistem demokrasi.


TIAN CHUA adalah Naib Presiden Parti Keadilan Nasional. Nota ini diterjemahkan daripada teks asal berbahasa Inggeris seperti diterbitkan malaysiakini semalam.

ADS