Pihak polis akan menyiasat kakitangan Bank Negara Malaysia mengenai kebocoran surat rahsia bank itu kepada Wall Street Journal (WSJ) jika terbukti dokumen itu sahih.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, langkah pertama ialah menentukan kesahihan surat tersebut yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Selepas menentukan kesahihan surat itu, langkah seterusnya ialah memeriksa siapa yang mempunyai akses kepada dokumen berkenaan dalam usaha untuk menjejak suspek sekiranya dokumen itu tulen, katanya lagi.

"Ini hal yang serius dan kami akan cuba sedaya upaya," kata beliau.

Ditanya jika penyiasatan akan turut menumpukan kepada anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), yang mana mungkin merupakan individu yang mendapat dan kemudiannya membocorkan, Khalid menjawab: "Kami menimbang semua kemungkinan."

"Kami akan menyiasat semua yang dirasakan terlibat dalam hal ini," katanya sambil menambah tiada penahanan dibuat setakat ini berhubung perkara tersebut.

Dokumen yang dimaksudkan dalam hal ini ialah dakwaan wujudnya surat dari Bank Negara kepada Pengerusi Jawankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Ariffin.

Surat itu didakwa mengesahkan bahawa Good Star Limited dimiliki oleh Low Taek Jho atau Jho Low.

[Baca berita penuh]