ULASAN Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) berpandangan kerajaan lebih wajar mengemukakan rang undang-undang (RUU) bagi meminda Akta 355 (Bidang Kuasa Mahkamah Syariah) di parlimen bagi mendapatkan kelulusan.

Berkenaan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan, IKRAM pernah menyatakan pandangan mengenainya pada 11 Mei 2014, yang antara lain menyarankan empat langkah awal.

Ini bagi menjamin perlaksanaannya mencapai matlamat, menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat – maqasid penting dalam perlaksanaan undang-undang Islam itu sendiri.

Dalam kenyataan tersebut, IKRAM mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa teknikal antara ousat dan Kelantan untuk memastikan enakmen ini bertepatan dengan kehendak syariah, mencari pendekatan terbaik dan mengelak ia dipolitikkan.

Pada ketika itu juga, IKRAM mengalu-alukan keputusan presiden PAS menangguhkan dan tidak membentangkan RUU itu dalam Persidangan Dewan Rakyat bulan Jun 2014 kerana ia boleh memberi masa kepada jawatankuasa teknikal dan rakyat mengemukakan pandangan.

IKRAM percaya jawatankuasa teknikal ini telah bekerja keras membuat kajian dan mendapatkan pandangan pelbagai pihak bagi memastikan perlaksanaan undang-undang syariat dilaksanakan secara efektif dan mencapai maqasidnya.

IKRAM berpandangan jawatankuasa ini yang seharusnya berperanan menasihati kerajaan tentang isu berkaitan pindaan Akta 355 ini sebagai sebahagian daripada usaha meluaskan kuasa Mahkamah Syariah.

Kerajaan sepatutnya mengurus pindaan ini dengan membawa kepada kabinet, berbincang dengan semua pemegang taruh (stakeholders) dan akhirnya membawa kepada Majlis Raja-raja bagi mendapatkan perkenan sebelum dibawa ke parlimen.

Jika ini dapat dilakukan dan semua agensi kerajaan termasuk IKIM, IKSIM, mufti, jabatan-jabatan agama, NGO dan universiti-universiti berperanan untuk berbincang, mengemukakan pandangan dan memberi penjelasan kepada rakyat, maka salah faham yang timbul berkaitan RUU 355 ini dapat diminimumkan.

Oleh kerana proses perundingan ini tidak berjalan dengan baik dan perkenan Majlis Raja-raja juga tidak diperoleh, maka kita lihat bantahan daripada pelbagai pihak sedang berlaku termasuk daripada parti-parti komponen dalam BN.

Kepentingan Islam

Justeru, IKRAM menyarankan kerajaan melihat kembali cara pindaan undang-undang ini dikendalikan dan membuat pembetulan dengan kerajaan sendiri mengambil inisiatif melalui proses dan tatacara yang sepatutnya dalam meminda mana-mana undang-undang yang berkaitan dengan agama Islam.

Ini adalah usaha bagi kepentingan agama Islam dan tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

IKRAM juga menyeru agar semua pihak untuk bertindak secara rasional, objektif dan tidak mengikut emosi dalam membincangkan perkara ini serta mengelakkan daripada menjatuhkan sebarang hukum terhadap golongan yang berbeza pendapat.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama." (al-Hajj: 78)

"Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan." (Taha: 2)


DR MOHD PARID SHEIKH AHMAD presiden Pertubuhan Ikram Malaysia.