Anugerah Sopa: Wartawan WSJ ikrar terus lapor 1MDB
The Wall Street Journal (WSJ) menyuarakan rasa penghargaannya kerana terpilih memenangi anugerah Persatuan Penerbit-penerbit Asia (Sopa) 2016 di Hong Kong malam tadi.
"Ia sungguh menggembirakan apabila usaha kerja kami mengenai 1MDB dan Malaysia diiktiraf oleh rakan-rakan kami dan para hakim anugerah tersebut.
"Ia (1MDB) adalah cerita utama bagi kami yang akan kami terus melaporkannya demi kepentingan awam," kata editor WSJ bagi rantau Asia, Tom Wright kepada Malaysiakini melalui emel.
Penerbitan itu menjadi pemenang Kumpulan A untuk Anugerah Scoop berhubung laporan mereka mengenai "Skandal 1MDB Malaysia" yang kemudian mendorong siasatan global dijalankan ke atas dana milik negara itu, selain mendapat liputan media di seluruh dunia.
WSJ juga mendapat penghargaan untuk rencana sama bagi Anugerah Kecemerlangan Laporan Penyiasatan.
Kategori itu memberi penghargaan kepada laporan yang membuat pendedahan mengenai rasuah atau salah guna kuasa dan menuntut pertanggungjawaban.
Wright pula dipilih Sopa memenangi anugerah wartawan terbaik.
Dia adalah seorang daripada wartawan WSJ yang bertindak membuat pendedahan mengenai 1MDB dan siri laporan susulan mengenainya.
Sebelum ini WSJ menjadi finalis bagi Hadiah Pulitzer untuk kategori laporan antarabangsa - yang menghargai kewartawanan cemerlang AS - juga berkaitan pendedahan 1MDB.

