Nelayan bantah cukai jeti RM600 k'jaan Selangor
Sekumpulan nelayan di Sungai Besar hari ini berkumpul di jeti Sungai Nibong bagi membantah rancangan kerajaan Selangor yang dikatakan mahu mengutip bayaran jeti RM600 setahun.
Mereka menyeru kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali membatalkan rancangan itu dengan mengambil kira beban kehidupan nelayan.
Pemimpin kumpulan itu Mohd Jaman Haris berkata pihaknya juga telah menyediakan sepucuk surat dan memorandum untuk dihantar kepada kerajaan negeri.
"Mereka telah menghantar pegawai datang jeti membuat bancian, saya rasa mereka bertekad nak kutip bayaran jeti," katanya.
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) semalam menggesa kerajaan Selangor segera menyatakan pendirian dalam isu cukai jeti itu.
Pengerusi LKIM Datuk Irmohizam Ibrahim berkata kerajaan Selangor wajar meneliti dahulu kesusahan nelayan dan bukan mengundang derita mereka.
Sementara itu, Menteri Pertanian Ahmad Shabery Cheek turut hadir dalam bantahan itu dan menyindir kerajaan Selangor mengambil kesempatan terhadap jeti yang kebanyakan dibina kerajaan persekutuan.
"Kerajaan negeri sepatutnya memudahkan dan beri bantuan kepada nelayan dan bukan ambil kesempatan untuk pihak lain.
"Saya nampak tak ada kewajaran kerajaan negeri nak kutip sumber ini," katanya.

