Terjemahan Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor mungkin melanggar undang-undang apabila melantik seorang timbalan yang dipertua dan seorang timbalan datuk bandar dua jawatan yang tidak diperuntukkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan (LGA) 1976.

Peguam Derek Fernandez, yang sering mengendalikan isu-isu membabitkan kerajaan tempatan di dalam dan di luar mahkamah, berkata Seksyen 10 LGA, secara khusus menggariskan perlantikan seorang yang dipertua dan minimum lapan atau maksimum 24 ahli majlis PBT.

"Mereka hendaklah dilantik dari kalangan penduduk tempatan dan antaranya mempunyai pengalaman luar dalam hal-ehwal kerajaan tempatan," katanya ketika dihubungi semalam.

"Memang tidak ada peruntukan bagi perlantikan timbalan yang dipertua dan perlantikannnya tidak dibenarkan oleh LGA," tambahnya.

Beliau menjelaskan demikian ketika diminta mengulas implikasi undang-undang bagi perlantikan kedua-dua jawatan tersebut sepertimana yang dibangkitkan oleh blogger Jeff Ooi dalam satu majlis forum DAP mengenai pemulihan semula pilihanraya kerajaan tempatan, Ahad lalu.

Ooi yang mempersoalkan kesahihan perlantikan itu dari segi undang-undang dan perlembagaan, merujuk kepada tindakan Majlis Perbandaran Subang melantik timbalan yang dipertua pada tahun 2000 manakala Dewan Bandaraya Shah Alam pula melantik seorang timbalan datuk bandar pada 2004.

Nama jawatan mengelirukan

Fernandez, yang juga merupakan penasihat undang-undang kepada beberapa persatuan penduduk, berkata adalah mengelirukan untuk menggunakan istilah 'timbalan yang dipertua' bagi jawatan yang tidak wujud dari segi perundangan.

"Istilah tersebut memberi konotasi salah, bahawa timbalan yang dipertua adalah orang kedua tertinggi selepas yang dipertua, dan beliau boleh menggantikan yang dipertua ketika ketiadaannya. Undang-undang dengan jelas tidak memperuntukkan sedemikian," tambahnya.

Katanya, sesiapa sahaja yang dilantik sebagai timbalan yang dipertua tidak boleh memangku tugas presiden ketika ketiadaannya.

Sebagai contoh, katanya, apabila seorang yang dipertua tidak hadir untuk mempengerusikan mesyuarat majlis, salah seorang ahli majlis itu perlu melaksanakan tugas tersebut.

"Selain daripada ahli majlis, yang dipertua juga hanya dibenarkan melantik pegawai-pegawai dalam majlis tersebut. Sebarang pewujudan jawatan baru, cadangan gaji dan bidang tugasnya, perlu diluluskan oleh kerajaan negeri," tambahnya.

Oleh itu, kata Fernandez, adalah tidak sesuai untuk menggunakan istilah timbalan yang dipertua.

Beliau juga mencadangkan jika tujuan melantik timbalan adalah untuk membantu presiden, maka sepatutnya presiden itu mengosongkan jawatannya kerana "ramai lagi yang mampu melakukan tugasnya".

Pakar pentadbiran perbandaran, Dr Goh Ban Lee, yang sependapat dengan Ooi dan Fernandez, berkata, ianya tidak jelas sama ada timbalan yang dipertua perlu atau tidak, mengangkat sumpah jawatan sepertimana ahli majlis yang lain.

Angkat sumpah

"Adakah mereka secara rasminya ahli majlis atau dilantik sebagai pegawai majlis? Undang-undang memerlukan yang dipertua majlis dan semua ahli majlis mengangkat sumpah jawatan," katanya ketika dihubungi di Pulau Pinang.

Beliau yang juga pensyarah sains sosial, juga mempersoalkan kapasiti rasmi mereka yang dilantik ke jawatan timbalan yang dipertua ataupun timbalan datuk bandar.

"Biasanya, jika presiden tidak ada untuk mempengerusikan mesyuarat majlis, salah seorang ahli majlis akan mempengerusikannya. Malah, setiausaha majlis pun tidak boleh berbuat demikian kerana dia bukanlah seorang ahli majlis," tambahnya.

Dr Goh juga bertanya mengenai kapasiti timbalan yang dipertua ketika hadir dalam mesyuarat majlis.

"Mereka tidak mempunyai hak untuk mengundi dalam proses majlis membuat keputusan, tetapi masih boleh menjalankan tugas sebagai seorang pegawai majlis," tegasnya.

"Ini terkandung dalam undang-undang," tambahnya.

Ketika menyangkal hujah-hujah tersebut, Timbalan Presiden MPSJ, Arpah Abdul Razak menegaskan bahawa memang ada peruntukan khusus mengenainya di dalam LGA.

"Ianya terdapat di dalam Akta tersebut. Malah, seorang timbalan yang dipertua boleh mengangkat sumpah jawatan seperti ahli majlis yang lain, tetapi dalam hal kita, sudah ada 24 (ahli majlis), jadi kami tidak mahu 'kacau' kedudukan sekarang, jadi diputuskan bahawa perlantikan saya adalah sebagai seorang pegawai majlis."

"Bagaimanapun, ini bukan isu baru. Ianya telah dibangkitkan banyak kali sebelum ini dan kita telah menjelaskan kedudukannya. Malah, kita telah mengadakan taklimat untuk ahli majlis baru, termasuk mengenai perkara ini," tambahnya.

Pengarah korporat

Bersama yang dipertua dan setiausaha majlis, katanya, beliau selaku timbalan yang dipertua turut menganggotai pasukan pengurusan majlis dengan jawatannya sebagai pengarah korporat.

"Ia sama seperti lembaga pengarah. Saya dilantik untuk membantu yang dipertua dalam pengurusan majlis dan memandangkan tanggungjawabnya yang berat di peringkat negeri, beliau tidak mempunyai cukup masa untuk operasi majlis," jelasnya.

Arpah bertanggungjawab terus untuk menyelia bahagian korporat, ICT, perpustakaan, pembangunan komuniti, kebudaaan dan aktiviti sukan.

"Perlantikan saya (pada 2000) adalah berasaskan kepada persetujuan kerajaan negeri dan Jabatan Perkhidmatan Awam. Perlantikan seumpama itu perlu memandangkan banyak kerumitan dalam (pentadbiran) majlis seperti tugas dan fungsi yang semakin bertambah," kata Arfah, sambil menambah beliau menghadiri mesyuarat sebagai seorang pegawai majlis.

"Ahli-ahli majlis membuat dan memutuskan dasar, saya pula bertanggungjawab dalam pelaksanaan dasar."

Malah, katanya, pihak berkuasa tempatan yang lain juga sepatutnya berbuat demikian kerana MPSJ kini merupakan sebuah PBT yang amat berkesan dalam melaksanakan pembangunan dalam kawasan pentadbirannya.

Satu perlantikan yang dipertikaikan ialah Timbalan Datuk Bandar Shah Alam (MBSA), tetapi beliau tidak dapat dihubungi untuk mendapat reaksinya.