Kerajaan negeri Selangor masih stabil, jamin Menteri Besar Datuk Seri Mohd Azmin Ali, di sebalik kebimbangan bahawa ia akan tumbang sekiranya PAS menarik diri daripada kerajaan negeri.

Dalam temu bual yang disiarkan dalam akhbar berbahasa Cina Oriental Daily hari ini, Azmin dilaporkan memberitahu bahawa Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad memberi jaminan bertulis sokongan parti itu kepada kerajaan negeri.

"Saya telah bertemu dengan Iskandar selepas AMANAH ditubuhkan tahun lalu.

"Beliau memberi saya jaminan bertulis bahawa PAS Selangor akan menyokong rangka kerja dasar bersama Pakatan Rakyat, dan akan terus mendukung cadangan belanjawan Pakatan Rakyat dan (manifesto) Buku Jingga," katanya yang dipetik akhbar itu.

Beliau dilaporkan berkata jaminan Iskandar itu memberinya keyakinan.

Pakatan Rakyat memerintah di Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor tetapi berpecah pada Jun tahun lalu akibat pertelingkahan antara PAS dan DAP berhubung isu hudud.

Ahli-ahli PAS yang tidak berpuas hati meninggalkan parti itu untuk membentuk AMANAH pada 16 September tahun itu, dan kemudian membentuk gabungan Pakatan Harapan baru bersama dengan DAP dan PKR.

Walaupun DAP mempunyai jumlah kerusi yang agak selesa di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan PAS juga menikmati kedudukan yang sama di Kelantan, ini tidak berlaku di Selangor.

Daripada 56 kerusi dalam DUN Selangor, kerajaan negeri semasa memiliki 33 kerusi - 15 DAP, 13 PKR, 13 PAS, dan 2 AMANAH.

Sebagai perbandingan, BN pula menguasai 12 kerusi dan terdapat seorang ADUN bebas.

[Baca berita penuh]