Orang-orang asli yang pernah tinggal di empangan Murum kini menagih janji bagi penempatan semula yang sewajarnya dan pampasan sebelum pembinaan empangan berkenaan.

Walaupun mereka masih menentang pembinaan empangan itu dengan melakukan sekatan dan sebagainya, orang-orang asli yang terdiri daripada kebanyakannya Penan dan beberapa suku kaum Kenyah, akhirnya terpaksa berpindah.

Sejumlah tujuh komuniti ditempatkan semula dalam dua kawasan, dengan tiga buah kampung di Tegulang dan empat lagi di kawasan Metalun yang lebih jauh.

"Kami telah berpindah dari kampung lama kami pada November 2013, tetapi kami tidak melakukannya secara rela, kami dipaksa berpindah.

"Bagaimana kami boleh gembira, bagaimana kami nak berpindah meninggalkan tanah kami, ladang kami?" kata salah seorang Penan, gereng Jadung dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Walaupun begitu, sekurang-kurangnya janji-janji penempatan semula dan pampasan masih kekal, fikir mereka.

Janji-janji yang tidak dipenuhi

Sekarang, lebih daripada dua tahun selepas mereka dipaksa berpindah, Gereng, yang menetap di Long Luar di Metalun berkata mereka masih belum menerima sebahagian besar pampasan yang telah dijanjikan kepada mereka.

Antara janji-janji yang tidak dipenuhi adalah sebuah sekolah, klinik, jalan raya berturap, bekalan air bersih, elektrik percuma, perumahan untuk setiap keluarga dan 15 hektar tanah setiap isi rumah.

Buat masa ini, anak-anak mereka menghadiri sekolah sementara kira-kira tiga jam perjalanan dengan berjalan kaki, dengan kekurangan kemudahan jalan raya berturap.

Sementara itu, tanpa klinik, pusat perubatan yang terdekat adalah sebuah hospital di Bintulu, yang mengambil masa lapan jam perjalanan, kata Gereng.

Lebih teruk lagi, kampungnya tidak mendapat akses bekalan air bersih selama kira-kira satu tahun dan sembilan bulan.

Mereka mengumpul air hujan dalam tangki, tetapi anak-anak mereka jatuh sakit dan mereka terpaksa pergi ke hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan.

[Baca berita penuh]