Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Naib presiden PAS sokong 'gencatan senjata'
Diterbitkan:  Jul 14, 2016 8:40 AM
Dikemaskini: 3:38 AM

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad menyokong gesaan 'gencatan senjata' oleh Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, agar parti-parti pembangkang menumpukan usaha untuk menumbangkan BN dan bukan bertelagah sesama sendiri.

"Keputusan pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar menunjukkan bahawa jika pembangkang gagal mencapai persefahaman pilihan raya, maka Barisan Nasional yang akan meraihkan keuntungan.

"Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan realiti politik tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

"Jika suasana hari ini berlarutan, kemungkinan Barisan Nasional akan terus memerintah Malaysia dan Selangor akan dapat dirampas semula oleh mereka dalam pilihan raya umum yang akan datang," tambanya.

Oleh itu, kata Iskandar, satu formula yang akan memastikan prinsip-prinsip semua pihak dihormati mesti dicari.

Iskandar juga merupakan anggota exco dalam kerajaan Selangor yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP.

Kerajaan campuran itu kekal walaupun Pakatan Rakyat telah berkubur, selepas PAS dan DAP bertelagah berhubung isu hudud tahun lepas.

Menurut Iskandar lagi, pemimpin politik mesti memikirkan tentang masa depan dan nasib rakyat.

"Pemimpin hendaklah sentiasa turun padang untuk memahami hasrat rakyat.

"Apa yang penting kepada orang politik mungkin berbeza dari apa yang penting kepada rakyat biasa," tambahnya.

Sebelum itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali menyambut baik kenyataan Tuan Ibrahim dan berkata sekurang-kurangnya satu pakatan pilihan raya perlu dibentuk antara PAS dan Pakatan Harapan untuk mengelakkan pertembungan banyak penjuru.

DAP juga menyambut baik cadangan timbalan presiden PAS itu tetapi AMANAH mempersoalkan sama ada Tuan Ibrahim berkata demikian bagi pihak parti Islam itu.

AMANAH merupakan parti serpihan PAS. DAP, PKR dan AMANAH membentuk Pakatan Harapan, menggantikan Pakatan Rakyat.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS