Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Bung Moktar Radin mendoakan agar bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terus sihat untuk mengemudi parti baru yang akan menjadi sebahagian daripada pergerakan ‘Selamatkan Malaysia’.

Katanya, parti baru itu boleh berkempen pada pilihan raya umum akan datang bagaimanapun akhirnya kepimpinan negara akan ditentukan oleh rakyat.

“Mahathir boleh gerakkan jentera waktu pilihanraya kempen sama-sama biar rakyat tentukan siapakah kerajaan yang diberi kepercayaan untuk pimpin negara ini.

“Saya doakan Tun Mahathir sihat dan dapat mengemudi partinya pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di Wisma Felcra di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam Mahathir mengumumkan ada perbincangan bagi membentuk sebuah parti baru yang akan menjadi sebahagian daripada pergerakan ‘Selamatkan Malaysia’.

Bagaimanapun bekas presiden Umno itu tidak akan mengetuai parti berkenaan.

Bung berkata BN tidak mempunyai halangan untuk berhadapan dengan parti baru tersebut kerana Umno pernah mengalami cabaran yang sama apabila beberapa pemimpin meninggalkan parti dan menubuhkan parti lain.

“Kita negara demokrasi, bukan jadi halangan Umno ini untuk berhadapan dengan parti baru ini.

“Kalau tengok sejarah Umno ini dari dulu Tunku Abdul Rahman meninggal di luar Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh (keluar Umno).

“Umno telah melalui proses cabaran dan akhirnya rakyat tentukan (pemimpin),” katanya.

Lihat Komen
ADS