Dituduh rosakkan patung kuil, siswazah dibicara Ogos depan
Mahkamah Sesyen Ipoh menetapkan 4, 5 dan 12 Ogos depan sebagai tarikh perbicaraan kes seorang siswazah perubatan yang didakwa merosakkan patung di sebuah kuil pada April lalu dan memiliki senjata berbahaya.
Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin menetapkan tarikh tersebut ketika kes itu disebut di hadapannya semalam.
Laporan psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan pada 19 Mei lepas menyatakan Fathi Munzir Nadzri, 29, layak dibicarakan dan boleh membela diri bagi kedua-dua pertuduhan ke atasnya.
Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab berkata tujuh saksi pendakwaan akan dipanggil sepanjang perbicaraan dengan lima daripadanya memberi keterangan secara penyataan bertulis mengikut Seksyen 402B Kanun Tatacara Jenayah.
Fathi Munzir didakwa merosakkan patung-patung di Kuil Sree Muneeswaran Amman Kovil di hadapan pusat beli-belah Angsana Mall dan memiliki sebilah parang pada kira-kira jan 5 petang 24 April lepas.
Bagi pertuduhan merosakkan patung, Fathi Munzir didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan memiliki sebilah parang, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 29 April lepas, Mahkamah Sesyen Ipoh memerintahkan Fathi Munzir menjalani rawatan dan pemeriksaan di Hospital Bahagia selama sebulan.
Selepas mendapati Fathi Munzir layak dibicarakan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan ia dibayar pada 25 Mei lepas.
Tertuduh diwakili peguam Tun Mohamad Ammar Aziz.
- Bernama

