Lepas rayu Azmin, S'gor setuju bantu keluarga terus berniaga
Kerajaan negeri Selangor bersetuju untuk membantu seorang pengusaha kedai makan dan keluarganya dengan memberikan mereka lokasi baru untuk meneruskan perniagaan.
Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) membuat keputusan itu pada 19 Julai selepas mengambil kira bahawa Jaye Sury Rajoo mencari nafkah untuk keluarganya selepas suaminya lumpuh akibat strok.
Dalam satu kenyataan dari pejabat Menteri Besar Selangor, ia menyatakan Jaye Sury akan diberikan sebuah kedai baru di Desa Coalfields.
Azmin menyatakan penghargaan beliau terhadap MDKS atas usahanya membantu Jaye Sury, sambil menambah bahawa majlis tempatan perlu peka dengan nasib orang ramai.
Bagaimanapun, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Jaye Sury berkata beliau tidak mendapat tawaran untuk kedai baru itu.
"Tidak, saya tidak ditawarkan apa-apa, tetapi merekalah yang berjumpa dengan saya untuk membincangkan tentang kedai saya sekarang," katanya.
Beliau juga mengadu bahawa Desa Coalfields adalah tempat yang tidak baik untuk menjalankan perniagaan kerana tidak ramai orang di sekitarnya.
"Banyak kereta lalu lalang di kedai saya yang sekarang tetapi di Desa Coalfields kedai dua tingkat pun ditutup kerana tiada pelanggan," katanya.
Jaye Sury sebelum ini telah menghantar memorandum kepada Azmin pada 12 Julai, memohon untuk menangguhkan perobohan rumah kedai beliau di Sungai Buloh.
Memorandum itu juga memohon rumah kedai baru dari majlis daerah untuk menggantikan kedainya yang telah beroperasi sejak 1999.
Notis pemindahan pertama diberikan kepadanya dari Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor pada 4 April dan seterusnya pada 13 Jun selepas gagal membuat rayuan.
MDKS didakwa menuntut semula tanah dan membatalkan permit bangunan untuk kedai itu bagi projek melebarkan jalan.

