Seorang peguam dan seorang bekas tentera dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah menggunakan dokumen palsu membabitkan proses pindah milik dua lot tanah di Mukim Petaling.

Chan Yiew Hock, 53, dan Mohd Adul Abdullah, 63, terpaksa menjalani hukuman penjara berkuatkuasa hari ini selepas permohonan mereka untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman ditolak Hakim Zamri Bakar.

Beliau menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa Chan dan Mohd Adul gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mereka dibicarakan atas dua pertuduhan bersama-sama menggunakan dua keping Borang 14A Pindah Milik Tanah Bahagian atau Pajakan Perserahan yang palsu untuk memindah milik dua lot tanah PT982 dan PT1,000 di Mukim Petaling.

Chan dan Mohd Adul didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah Daerah Petaling, Persiaran Atmosfera, Seksyen U5, Sungai Buloh, dekat Shah Alam pada 17 September 2014, dan dihukum mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Kedua-dua lot tanah berkenaan adalah atas nama ayah Mohd Adul yang telah meninggal dunia.

Terdahulu, peguam Muhammad Izhar Mohd Salehuddin yang mewakili Chan, memohon mahkamah membebaskan anak guamnya dengan bon mengikut Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah atas alasan tertuduh telah berusia 53 tahun dan menghidap kencing manis serta penyakit kulit (ekzema).

Beliau berkata kes itu membabitkan urusan keluarga Mohd Adul dan tiada kerugian dialami mana-mana pihak memandangkan tanah berkenaan kekal kepada penama asal serta tidak dipindah milik kepada mana-mana pihak.

Peguam Mohd Yusoff Aglah, yang mewakili Mohd Adul, turut memohon mahkamah membebaskan anak guamnya dengan bon dan mengambil kira faktor umur serta kesihatan tertuduh yang menghidap darah tinggi, buasir berdarah dan gastrik.

"Tertuduh juga merupakan bekas tentera yang berkhidmat selama 13 tahun dan pernah menerima pingat jasa Malaysia. Selama 13 tahun berkhidmat, anak guam saya pernah menyertai peperangan di Sarawak pada 1972," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip yang mengendalikan pendakwaan bagaimanapun berkata tiada keperluan untuk mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan bon memandangkan mereka telah melakukan kesalahan yang serius.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

- Bernama