Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TH tingkat keselamatan jemaah di Tanah Suci
Diterbitkan:  Jul 28, 2016 6:04 PM
Dikemaskini: 11:58 AM

Tabung Haji akan meningkatkan lagi aspek keselamatan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci termasuk berkaitan keselamatan bangunan penginapan mereka, bagi memastikan perjalanan haji tahun ini berjalan lancar.

Pengurus Besar Kanan (Haji) merangkap Ketua Rombongan Haji 1437H, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata jemaah haji Malaysia telah diberikan taklimat secara khusus dalam setiap kursus berkenaan langkah keselamatan yang perlu diambil sekiranya berlaku sebarang bencana atau hal berkaitan keselamatan.

Para petugas TH juga turut menjalani beberapa siri latihan dan kursus mengenai gerak kerja di Tanah Suci sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini, katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelepasan Petugas Haji Penerbangan 'Advance Party' 1437H di Kompleks Tabung Haji, di Petaling Jaya hari ini.

Pada musim haji tahun lepas, tujuh jemaah Malaysia terkorban dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram yang turut mengorbankan beratus-ratus jemaah lain, manakala seorang jemaah haji Malaysia terkorban dalam kejadian rempuhan di
di Mina yang turut mengorbankan lebih 700 jemaah lain.

Syed Saleh berkata TH juga meningkatkan tahap keselamatan di 12 bangunan penginapan jemaah haji Malaysia di Makkah dan Madinah.

Ia bagi memastikan 12 bangunan penginapan jemaah iaitu sembilan di Makkah dan tiga di Madinah itu tidak dimasuki anasir-anasir yang tidak diingini berikutan perkembangan semasa yang berlaku di Arab Saudi dan negara Asia Barat,
katanya.

Beliau berkata TH juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama agensi-agensi kerajaan Arab Saudi dalam memastikan pelbagai langkah telah diambil bagi mengetatkan lagi keselamatan jemaah terutama dari Malaysia.

Majlis Pelepasan Petugas Haji Penerbangan 'Advance Party' 1437H menyaksikan 139 petugas TH terdiri daripada petugas kebajikan dan perubatan serta 21 petugas media yang merupakan kumpulan 'advance' kedua, berangkat ke Tanah Suci hari ini.

Kumpulan pertama iaitu 14 petugas teknikal telah berangkat ke sana pada Sabtu (23 Julai) manakala kumpulan ketiga pula iaitu petugas kebajikan dan perubatan akan berangkat pada 1 Ogos.

Syed Saleh berkata semua 22,320 jemaah haji akan berangkat ke Tanah Suci bermula 4 Ogos hingga 5 September nanti melalui 47 penerbangan secara berperingkat dari Kuala Lumpur ke Arab Saudi, menggunakan pesawat A380 milik Malaysia Airlines Berhad yang berkapasiti 489 orang dan pesawat Boeing 747 milik Saudi Arabian Airlines yang berkapasiti 450 orang.

Katanya jemaah Malaysia akan mula berangkat pulang ke tanah air pada 18 Sept hingga 15 Oktober.

Sementara itu, seorang petugas perubatan Dr Sulthanul Arifiin Basheer Ahamad berkata beliau berasa teruja dan berharap dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para jemaah.

"Antara cabaran yang bakal dilalui adalah cuaca panas yang dijangka mencecah 50 darjah celsius dan risiko Virus Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MersCoV)," kata beliau yang merupakan pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur yang dipinjamkan ke TH bagi musim haji kali ini.

Petugas media dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Zabidi Ishar berkata ini merupakan kali pertama beliau berpeluang ke Tanah Suci, untuk membuat liputan dan menunaikan ibadah haji.

"Walaupun dijangka berhadapan dengan cuaca panas namun saya berdoa semoga diberi kesihatan dan kekuatan untuk menjalankan tanggungjawab membuat liputan yang terbaik bagi Bernama," kata ketua biro Bernama Kedah itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS