Terjemahan Penulis buku yang mengandungi dakwaan terbaru rasuah yang membabitkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, mendakwa ada usaha-usaha oleh pihak tertentu untuk merampas buku tersebut walaupun ianya belum lagi diedarkan di pasaran.

Ahad lalu, kata penulis tersebut Mohammad Rafi Awg Kecil polis Shah Alam mengarahkannya supaya menyerahkan kesemua 5,000 naskah buku tersebut yang bertajuk Khir Toyo: Di Antara Amanah dan Khianat.

Pada hari berikutnya, beberapa ahli politik tertentu yang dipercayainya ada kaitan dengan Khir Toyo menemuinya untuk "menawarkan beratus ribu ringgit" bagi membeli kesemua naskah buku tersebut.

Pencetak pula mendakwa telah didatangi anggota polis tengahari Ahad lalu, yang memberitahu pekerja di situ supaya menyerahkan semua buku tersebut yang masih disimpan di situ.

Apabila dimaklumkan mengenainya, perunding Mohammad Rafi Mohd Sayuti Omar bertindak pantas berkejar ke kilang pencetak tersebut pada jam 3 petang dan mengambil kesemua buku itu sebelum pihak polis sempat berbuat demikian.

Buku tersebut telah diedarkan pada pagi Isnin lalu. Buku setebal 127 muka surat itu dijual pada harga RM12 di sekitar Lembah Kelang.

Mohammad Rafi, seorang bekas anggota polis, memberitahu malaysiakini semalam, beliau mengesyaki tindakan tersebut didorongkan oleh "maklumat terbaru" yang terdapat dalam buku politik yang pertama ditulisnya itu.

"Saya menulis panjang lebar mengenai harta Khir Toyo di Janda Baik dan di kawasan Hutan Templer. Ini adalah isu baru dan mungkin meningkatkan lagi tekanan yang sudahpun dihadapinya sekarang," katanya merujuk kepada liputan besar-besaran media mengenai kerosakan alam sekitar di Selangor.

"Saya tidak membuat sebarang tuduhan. Saya hanya menyatakan fakta-fakta. Terpulanglah kepada umum untuk menentukan sama ada beliau masih seorang pemimpin yang berkaliber," katanya.

Sebelum ini, Khir Toyo telah menafikan semua tuduhan rasuah terhadap dirinya.

Ketika dihubungi semalam, Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Hadi Ho Abdullah berkata beliau sedang bercuti, manakala Ketua Polis Selangor Datuk Yahya Udin pula berkata, beliau sedang menghadiri kursus. Oleh itu, mereka tidak dapat mengulas mengenai perkara tersebut.

'Bukan jenayah'

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohammad Rafi (foto) berkata seorang pegawai polis telah menghubunginya malam Ahad lalu selepas gagal mendapatkan buku-bukunya daripada pihak pencetak di Seksyen 16, Shah Alam.

"Dia memberitahu saya supaya datang ke ibupejabat polis Shah Alam dan membawa bersama buku-buku tersebut. Saya enggan berbuat demikian dan mengatakan saya tidak melakukan sebarang jenayah. Saya juga memberitahunya bahawa buku-buku tersebut masih diembargo.

"Saya tanya kenapa saya disiasat dan di bawah undang-undang apa. Mereka tidak menjawab tetapi mendesak supaya saya datang ke balai polis. Beberapa orang pegawai lain turut menelefon saya kemudiannya, juga meminta saya supaya berbuat demikian, tetapi saya enggan menurutinya," katanya.

Selain pihak polis, Mohammad Rafi mendakwa beliau telah didatangi beberapa ahli politik yang mendakwa mereka mewakili Khir Toyo.

"Mereka datang menemui saya dan sewaktu perbualan itu, mereka menawarkan beratus ribu tinggit untuk memujuk saya supaya tidak mengedarkan buku tersebut. Jelas sekali, mereka tidak mahu buku itu sampai kepada umum.

"Walaupun tawarannya cukup menarik, namun saya enggan menerimanya. Saya memberitahu mereka yang saya tidak menulis buku untuk menjual maruah saya. Saya menulis buku untuk bersama rakyat. Walaupun semua ini baru bagi saya, tetapi saya tidak merasa takut. Malah, ia mendorong saya untuk menulis lagi...ini bukan buku terakhir saya!" katanya.

Cara polis dipersoalkan

Mohd Sayuti turut mempersoalkan cara polis hendak merampas buku-buku tersebut.

"Saya begitu terkejut apabila seorang pekerja kilang cetak tersebut menghubungi saya petang Ahad lalu dan memberitahu pihak polis berada di sana dan mahu mengambil buku-buku tersebut. Saya memberitahunya supaya jangan berbuat demikian dan dia kemudiannya menyambung panggilan itu kepada pegawai polis yang memperkenalkan dirinya sebagai ASP Anuar.

"Dia memberitahu saya yang dia memerlukan senaskah buku tersebut untuk membuat penyelidikan. Pada mulanya saya enggan memenui permintaannya, tetapi kemudiannya saya berlembut.

"Berdasarkan kepada pengalaman lalu saya dengan pihak polis, saya tahu saya perlu bertindak pantas. Jadi saya menghubungi Mohammad Rafi dan kami mengambil keputusan untuk mengambil buku tersebut. Memang benar, selepas 15 minit kami meninggal kilang cetak itu, kami diberitahu pihak polis sampai untuk mengambilnya," katanya.

Beliau juga mendakwa telah diganggu oleh beberapa pegawai polis yang memintanya supaya hadir di ibupejabat polis, tetapi beliau enggan berbuat demikian.

"Mengapa saya mesti pergi berjumpa mereka? Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Buku tersebut tidak diharamkan. Saya memberitahu mereka, jika mereka hendak bercakap dengan saya, maka mereka kena datang ke rumah saya kerana saya mempunyai banyak lagi perkara yang hendak dibuat.

"Apa yang berlaku itu amat luar biasa kerana, pada masa lalu, pihak berkuasa akan hanya bertindak selepas sesuatu penerbitan itu diedarkan. Jika mereka berpuashati kandungannya memudaratkan, maka mereka akan menasihatkan supaya ia diharamkan. Tetapi dalam kes ini, buku-buku tersebut masih lagi di kilang cetak...nampaknya pihak polis terbabit bertindak demikian kerana mahu melindungi kepentingan politik tertentu," katanya.

Sayuti sendiri merupakan seorang penulis politik veteran dan sehingga telah menerbitkan lebih 50 buku, sebahagian besarnya mengenai politik. Ini termasuk buku Agenda 1996 Anwar Lawan Mahathir dan Undurkah Mahathir Dilemma Dollah Badawi.

Ketika dihubungi, seorang kakitangan kilang pencetakan tersebut, yang enggan namanya disiarkan, mengesahkan pihak polis datang dua kali ke tempatnya Ahad lalu.

"Pada kali pertama, seorang daripada empat pegawai polis itu memberitahu pekerja saya yang dia mahu membuat penyelidikan dan meminta beberapa naskah buku. Kami enggan memberinya sehingga mendapat kebenaran Sayuti. Mereka mengambil 12 nashkah dan beredar dari situ," katanya.

Katanya, tujuh anggota polis datang lagi ke kilangnnya pada kira-kira jam 5 petang yang sama dan mengarahkan kami menyerahkan kesemua naskah buku-buku tersebut.

"Kami memberitahu mereka bahawa wakil penulis telah datang dan mengambil kesemua buku-buku tersebut. Mereka tidak mempercayai cakap kami dan terus mengeledah semua tempat termasuk pejabat pemilik kilang pencetak tersebut," katanya.

Dia juga mempersoalkan sama ada tindakan polis itu sah di sisi undang-undang kerana mereka tidak membawa sebarang perintah mahkamah atau waran daripada Kementerian Dalam Negeri.