Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Asyraf Wajdi minta media tampilkan Islam penyayang

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyeru pengamal media supaya turut sama memikul tanggungjawab menangani masalah keganasan.

Katanya, dunia berhadapan dengan pertembungan tanggapan berkaitan ideologi mengenai Islam dan ia perlu ditangani menggunakan media massa.

“(Media) perlu ambil tanggungjawab terutamanya untuk tampilkan Islam yang autentik atau yang tulen berasaskan akidah yang benar dan (mazhab) Ahli Sunah wal Jamaah.

“Ini harus kita pakejkan supaya dapat tangani isu radikal ekstremis ini atau golongan yang menjenamakan Islam tapi hakikatnya langsung tak menggambarkan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya di Al-Hijrah Big Studio (ABS), Cyberjaya.

Asyraf Wajdi menganjurkan penyampain mesej bersifat kasih sayang dan mesej-mesej universal kepada masyarakat.

“Alternatifnya (media) kena bawa Islam yang sifatnya penyayang, membawa kesejahteraan dan membawa mesej-mesej yang bersifat universal dan ini harus dipelopori oleh media-media,” jelasnya.

Zahid: Dekati juga bukan Islam

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya berkata, media lain khususnya TV Al-Hijrah perlu membawakan rancangan yang menunjukkan Islam sebagai agama harmoni dan sejahtera.

Katanya, rancangan yang dipaparkan bukan hanya untuk tontonan orang Islam sebaliknya sesuai untuk mereka yang bukan beragama Islam.

“Kaedah pendekatan kepada kumpulan sasaran hendaklah bukan hanya menjurus kepada hanya orang-orang Islam tetapi bukan hanya orang bukan Islam.

“Ia bukan bertujuan untuk menukar agama mereka tetapi memberi gambaran Islam sebenarnya. Islam agama kesejahteraan, Islam berkaitan keamanan, bukan keganasan atau melawan agama lain,” katanya.

Lihat Komen
ADS