BN kesal dengan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang menolak usul bagi membahaskan tindakan Naib Presiden PKR, Darell Leiking yang didakwa menghina insititusi beraja di negara ini.

ADUN Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi berkata tindakan kerajaan negeri berdiam diri jelas menunjukkan sikap hipokrit kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Saya telah menyuarakan cabaran kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga merupakan timbalan presiden PKR pada 16 Julai yang lalu.

“Namun sehingga kini beliau masih menikus dan mengambil jalan yang bersikap hipokrit terhadap kenyataan pemimpin yang dalam satu parti dengannya,” kata Budiman pada sidang media di bangunan Annex, Shah Alam hari ini.

Leiking sebelum ini dilaporkan memuat naik status menerusi Facebook mempertikaikan khutbah JAIS sempena Aidilfitri 6 Julai lalu yang bersyukur dengan kemenangan umat Islam berikutan pembentangan rang undang-undang persendirian oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membuka jalan kepada pelaksanaan hudud.

Ia juga bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak cabaran daripada kumpulan Sister in Islam (SIS) terhadap fatwa Selangor yang mengisytiharkan kumpulan itu sebagai 'sesat'.

Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar kemudian menuduhnya menghina sultan dengan membangkitkan isu khutbah itu kerana baginda bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di Selangor.

Mengulas lanjut, Budiman yang juga adalah ahli parlimen Sungai Besar, berkata lanjutan daripada itu pada 1 Ogos lalu, BN mengemukakan usul tergempar bagi membahaskan isu berkenaan kepada Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh.

Bagaimanapun, Budiman berkata cadangan usul itu ditolak atas alasan ia sedang disiasat oleh pihak polis berikutan daripada laporan daripada pengarah JAIS.

"Rakyat sendiri sebenarnya sudah mula muak dan jijik dengan sikap serta amalan politik keterlaluan yang cuba menyentuh sensitiviti agama dan umat Islam yang hanya bertujuan untuk meraih sedikit perhatian dan populariti politik oleh parti PKR ini.

“Amalan politik keterlaluan seumpama ini sudah wajib ditolak rakyat," kata Budiman.

Tambah Budiman, apa yang paling mendukacitakan beliau adalah Leiking yang juga ahli parlimen Penampang, Sabah mengaitkan kandungan khutbah tersebut seolah-olah satu satu permulaan Selangor kini diuruskan oleh golongan ekstremis.