Kartunis politik Zulkiflee Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar, tampil menghasilkan baju-T dengan tertera perkataan ‘Malaysian Official 1 (MO1).

Katanya, idea itu diilhamkan daripada ketidakupayaan menteri kabinet dan agensi-agensi penguatkuasaan untuk mengenal pasti pegawai yang disebut dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang mahu menyita dan merampas aset berkaitan 1MDB.

“Saya berharap dengan memakai baju-T ini, orang ramai dapat menunjukkan protes terhadap MO1 yang telah merompak AS$1 billion wang mereka seperti yang diumum DOJ.

“Baju-T ini boleh didapati secara online dengan harga cuma RM26 bukan RM2.6 bilion,” katanya yang merujuk kepada jumlah wang dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Najib Razak yang digambarkan sebagai derma politik.

Kartunis itu juga melahirkan harapan bahawa orang akan memakai baju berkenaan sebagai menunjukkan bantahan mereka terhadap "MO1".

“Ia juga untuk mengingatkan orang ramai bahawa, wang yang diguna untuk membeli kapal terbang, rumah mewah, hotel dan lain-lain hartanah di Los Angeles dan New York itu adalah duit rakyat.

"Rasuah mereka, rakyat yang bayar," katanya.

Baju-T ini boleh didapati dalam dua warna - hitam dan putih dan dibeli secara online melalui Facebook "Zunar Cartoonist Fan Club" atau laman web rasminya www.zunar.my.

Dalam samannya, DOJ mendakwa sejumlah AS$731 juta dana berasal daripada 1MDB berakhir dalam akaun bank peribadi "Malaysian Official 1”.

[Baca berita penuh]