Seorang tokoh akademik mengingatkan umat Islam di negara ini supaya berhati-hati dalam menerima atau mempercayai maklumat atau dakwaan terhadap kepimpinan negara khususnya dari pihak luar.

Bercakap kepada Umno Online, Prof Madya Hanafiah Harun berkata ini kerana dikhuatiri pihak luar itu mempunyai agenda dan muslihat untuk campur tangan dalam pentadbiran negara.

“Apa juga maklumat yang kita terima, sebagai umat Islam kita mestilah menyiasat terlebih dulu untuk memastikan kesahihan perkara tersebut sebelum kita mempercayainya,” katanya sambil menambah bahawa al-Quran juga menekankan kepentingan berhati-hati ketika menerima berita dari orang-orang yang fasik.

“Dalam isu-isu yang mengaitkan kepimpinan negara, ia adalah bersumberkan dari pihak luar yang bukan setakat fasik, malah mereka itu adalah orang-orang kafir.

“Jika menerima berita daripada orang-orang fasik pun kita mestilah siasat terlebih dulu, apatah lagi kalau maklumat dan berita itu datang dari orang kafir,” katanya.

Hanafiah berkata demikian ketika mengulas tindakan saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika berhubung penyelewengan dana berkaitan 1MDB.

Dalam hal ini, profesor itu menegaskan mengenai kepentingan memperhalusi maklumat terlebih dahulu daripada menelannya bulat-bulat.

“Kita bimbangi jika maklumat yang datang dari mereka itu bertujuan untuk memecah belahkan rakyat dan mengkucar kacirkan politik negara demi agenda tertentu mereka,” katanya.

Kes bunuh Atantuya

Hanafiah juga mengimbas kembali laporan tentang berita sebelum ini kononnya mahkamah Perancis ingin mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung isu pembelian kapal selam Scorpene.

“Dulu kecoh di negara kita kononnya PM kita mahu didakwa di mahkamah Perancis ekoran isu pembelian kapal selam dan kes pembunuhan Altantuya (Shaariibuu).

“Namun sehingga ke hari ini, masih tidak ada sebarang pendakwaan terhadap PM kita dan ini secara jelas memperlihatkan bahawa berita tersebut adalah satu pembohongan semata-mata yang disebarkan oleh pihak tertentu untuk mencemarkan imej kepimpinan negara.

“Begitu juga dulu kononnya heboh bahawa FBI akan menangkap Datuk Seri Najib berhubung isu penyelewengan 1MDB tetapi sehingga ke hari ini tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Malah selepas berita itu tersebar, Najib menghadiri sidang PBB di New York. Tidak ada pun agen FBI datang untuk menangkap beliau,” katanya.

Sambil mengulangi amarannya, Hanafiah berkata, maklumat berkenaan disebarkan oleh mereka yang mempunyai motif politik untuk mengelirukan rakyat.

Najib berulang kali menafikan menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan menyalahkan dakwaan itu terhadap komplot untuk menjatuhkannya.

Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali juga telah membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku.

Saman DOJ menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz dan ahli perniagaan Jho Low yang dikatakan rapat dengan keluarga perdana menteri.

Dokumen mahkamah itu juga merujuk kepada “Malaysian Official 1" sebanyak 36 kali.

Walaupun nama individu berkenaan tidak disebut, pembangkang dan pihak tertentu mendakwa terdapat maklumat yang mencukupi untuk mengandaikannya sebagai Najib.