Pengenaan kuota jawatan pengurusan bagi operasi Petronas di Sarawak yang dikhususkan hanya untuk rakyat Sarawak tidak baik untuk kakitangannya, kata Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen semalam yang menyarankan supaya pekerja dari Semenanjung Malaysia yang bekerja sebagai eksekutif Petronas dilarang masuk ke negeri itu.

Kata Chong, larangan itu perlu terus dikuat kuasakan sehinggalah Petronas meningkatkan penyertaan rakyat Sarawak dalam pengurusannya di negeri itu ke tahap 70 peratus.

Rafizi yang pernah menjadi kakitangan Petronas selama puluhan tahun berkata, tindakan sedemikian hanya akan membantutkan perkembangan dan kemajuan kerjaya mereka.

"Apabila mereka naik pangkat kerana kuota dan bertumpu kepada operasi di Sarawak sahaja, mereka akan menghadapi kesukaran untuk beralih jawatan dan pengalaman pada peringkat pengurusan yang sama di bidang-bidang lain.

"Kesan ialah kakitangan Petronas dari Sarawak mendapat insentif jangka pendek untuk naik pangkat dengan cepat dengan berebut jawatan pengurusan di Sarawak tetapi rugi jangka panjang kerana tidak cukup luas pengalaman untuk menaiki tangga kerjaya di peringkat kumpulan PETRONAS yang lebih besar dan mencabar.

"Akhirnya, kita bakal berdepan dengan satu lagi masalah baru iaitu rungutan pengurusan peringkat tertinggi kumpulan Petronas ketandusan kakitangan yang berasal dari Sarawak, katanya dalam kenyataan.

Justeru, tambah beliau, pihaknya ingin mengulangi cadangan supaya kerajaan Sabah dan kerajaan Sarawak masing-masing menubuhkan PetroSabah dan PetroSarawak untuk menjadi dua syarikat minyak yang boleh dibantu Petronas.

"Rakyat Sarawak dan Sabah akan lebih beruntung jika mereka dibantu Petronas dari segi kepakaran dan kemahiran supaya PetroSarawak dan PetroSabah boleh bersaing di luar negara.

"Keputusan pengurusan dan pengambilan pekerja PetroSarawak dan PetroSabah adalah keputusan komersil pengurusannya yang dilantik oleh kerajaan Sarawak dan Sabah, ujarnya lagi.

Sementara itu, Rafizi turut menegaskan bahawa Petronas perlu bebas dari campur tangan politik dan tidak perlu menjadi bola sepak permainan politik.

"Soal ketidak adilan perkongsian hasil minyak Sarawak sewajarnya dirundingkan dengan Kerajaan Persekutuan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Petronas tertakluk kepada undang-undang dan jumlah royalti serta syarat-syarat lain yang ditetapkan dan digubal Kerajaan Persekutuan," katanya lagi.