Abdul Gani: Kenyataan saya mengenai laporan April Fool disalahpetik
Terjemahan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini menafikan laporan akhbar bahawa beliau telah mengarahkan pihak polis supaya menyiasat malaysiakini kerana menyiarkan berita ekslusif pada hari 'April Fool' kononnya tiga menteri dan seorang menteri besar akan didakwa atas tuduhan rasuah.
Terjemahan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini menafikan laporan akhbar bahawa beliau telah mengarahkan pihak polis supaya menyiasat malaysiakini kerana menyiarkan berita ekslusif pada hari 'April Fool' kononnya tiga menteri dan seorang menteri besar akan didakwa atas tuduhan rasuah.
Abdul Gani menjelaskan, beliau hanya menyatakan beliau memandang berat 'usikan' seumpama itu kerana beliau percayai isu-isu serius seperti membanteras rasuah dan pendakwaan bukan sesuatu yang boleh dibuat 'main-main'.
"Saya tidak kata begitu...tidak. Itu tidak tepat sama sekali," katanya ketika ditanya mengenai sebuah laporan akhbar yang memetiknya sebagai berkata, beliau akan mengarahkan pihak polis supaya menyiasat perkara tersebut.
"Apa yang saya katakan ialah anda (media) mestilah lebih bertanggungjawab. Kami menganggap pendakwaan sebagai perkara serius. Kita tidak berjenaka mengenainya. Saya tersinggung jika ia dijadikan bahan jenaka.
"Apabila saya kata saya tersinggung, maksud saya ialah saya mengambil serius perkara itu. Saya rasa tidak senang, menghantar orang ke penjara atau menggantung mereka, dijadikan bahan jenaka," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja di forum mengenai hak untuk mempercepat pendengaran dan perbicaraan yang adil, anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna beliau telah melupakan isu tersebut kerana Abdul Gani juga berkata beliau masih menimbang apa bentuk tindakan yang hendak diambilnya.
"Saya akan mengkaji perkara ini dan melihat setakat mana (tindakannya)... Mungkin saya akan bercakap dengan orang itu, mungkin mengirim nasihat melalui surat. Saya belum lagi membuat keputusan...saya akan mempertimbangkan apa sahaja yang boleh."
Laporan polis
Ditanya sama ada terdapat laporan polis yang telah dibuat terhadap malaysiakini , beliau menjawab: "Setahu saya, tidak ada."
Berikutan berita usikan 'April Fool' pula, terdapat pembaca yang terlalu ingin tahu siapakan menteri dan menteri besar terbabit, tidak membaca satu lagi satu berita berkembar yang menjelaskan bahawa laporan itu adalah satu jenaka 1 April.
Akhbar-akhbar tempatan melaporkan Abdul Gani tidak menganggapnya satu jenaka, termasuk laporan talian akhbar The Sun yang memetik Peguam Negara itu sebagai berkata, beliau akan "meminta pihak polis supaya menyiasatnya kerana ia satu perkara yang serius".
Malaysiakini bagaimanapun mempertahankan keputusannya untuk menyiarkan 'usikan' tersebut bagi membangkitkan perbahasan mengenai isu rasuah.
Sementara itu,Abdul Gani enggan mengulas mengenai penyiasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam 18 kes 'berprofil tinggi'.
"Saya tidak ada apa-apa yang hendak dikatakan. Saya telah katakan sebelum ini, apa yang hendak saya katakan. Anda balik dan semak rekod anda. Saya telah katakan pada masa itu yang anda bertanyalah kepada orang yang berkenaan. Itu sahaja yang hendak saya katakan," tambahnya.
Sejurus selepas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Kasitah Gaddam dan seorang ahli perniagaan Tan Sri Eric Chia didakwa di mahkamah tahun lalu atas tuduhan rasuah, Menteri Kehakiman ketika itu, Datuk Dr Rais Yatim mendedahkan pada bulan April 2004 bahawa terdapat sekurang-kurangnya 18 kes 'berprofil tinggi' sedang menunggu tindakan selanjutnya daripad Pejabat Peguam Negara.
Bagaimanapun, pada bulan Mei 2004, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berikrar untuk membanteras gejala rasuah selepas memegang jawatan tersebut menjelaskan ianya bukan membabitkan 18 individu tetapi membabitkan 18 sektor yang mudah terbabit dengan rasuah yang perlu diawasi.

