Ketua Hakim Negara: Penangguhan punca kes-kes tertunggak
Terjemahan Penangguhan merupakan punca utama kes-kes mahkamah lewat diselesaikan, demikian menurut Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Terjemahan Penangguhan merupakan punca utama kes-kes mahkamah lewat diselesaikan, demikian menurut Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Dalam bulan Januari sahaja, katanya, sejumlah 17,596 kes ditangguhkan dalam semua mahkamah di seluruh negara.
Dalam ucaptamanya di forum 'Hak Perbicaraan Cepat dan Adil' anjuran Suhakam semalam, beliau berkata, daripada jumlah itu, 6,537 kes penangguhan membabitkan pihak peguam, 6,499 (pihak pendakwa) dan 4,560 (pihak mahkamah).
Katanya, jumlah tersebut lebih tinggi daripada penangguhan kes berjumlah 16,254 pada bulan Jun 2004 di mana peguam menjadi penyumbang utama, iaitu 6,750 kes, diikuti pihak pendakwa (4,313) dan pihak mahkamah (5,191).
Jumlah penangguhan kes yang besar itu disedari sewaktu pihak mahkamah mengambil langkah-langkah untuk menyelesaikan kes-kes sebelum tahun 2000 dan menurut Ahmad Fairuz, puncanya "terlalu banyak".
Katanya, sesetengah penangguhan itu disebabkan oleh peraturan dan prosidur sedia ada di mana pihak mahkamah tiada pilihan kecuali menangguhkannya.
Satu lagi aspek penangguhan yang disentuh oleh Ahmad Fairuz adalah kes yang membabitkan tertuduh ditahan reman dan tidak boleh dibebaskan dengan ikatjamin.
"Dalam satu kes membabitkan tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 39B (Akta Dadah Merbahaya), seorang majistret di Kuala Lumpur telah menyebutkan kes itu sejak 13 Mei 2002 sehingga 5 April 2005, hanya kerana tiada tuntutan (requisition) dibuat mengikut Seksyen 41A akta tersebut," katanya.
Tiada pilihan
"Kes yang sama di Kuantan menunjukkan tertuduh ditahan reman sejak 5 September 2002 dan tuntutan (requisition) hanya diperolehi pada 6 Oktober 2004. Orang tertanya-tanya sama ada kelewatan jenis ini mencabul Konvensyen Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (di mana tertuduh berhak dibicarakan dalam tempoh yang munasabah).
Beliau berkata, walaupun tidak dapat dinafikan bahawa penangguhan kes menyumbang kepada kelewatan sistem pengendalian kehakiman, tetapi kadangkalanya pihak mahkamah juga tidak mempunyai pilihan, kecuali membenarkan penangguhan itu bagi mengelak berlaku ketidakadilan.
"Adalah biasa untuk menangguhkan kes-kes bagi membolehkan pihak-pihak terbabit mendapatkan laporan pakar atau mencari saksi penting dalam kes-kes mereka. Kami terpaksa menerima hakikat bahawa penangguhan kes adalah sebahagian daripada sistem pengendalian kehakiman, dan keengganan memberi penangguhan dengan alasan-alasan yang munasabah, mungkin akan menyebabkan berlakunya ketidakadilan terhadap pihak-pihak terbabit," katanya.
Menurutnya lagi, peruntukan kakitangan juga merupakan salah satu sebab berlakunya kelewatan dalam pentadbiran kehakiman.
"Tidak dipertikaikan bahawa terdapat kekurangan hakim mahkamah tertingi dan lebih mendesak lagi ialah kekurangan pegawai kehakiman. Sehingga 1 Mac 2005, terdapat 55 kekosongan bagi jawatan majistret dan penolong pendaftar kanan di seluruh negara.
"Oleh itu, timbul persoalan jika ada kes-kes yang ditangguhkan kerana majistret telah dipindahkan dan tiada penggantinya, sehingga mengakibatkan berlaku kelewatan dalam perbicaraan kes-kes tersebut, adalah ini dianggap kelewatan yang tidak munasabah?" soalnya.
Beliau juga mengakui bahawa kemahiran pengurusan yang lemah di kalangan hakim dan pegawai kehakiman juga menyumbang kepada kelewatan tersebut dan itulah sebabnya mengapa mereka diarahkan supaya sentiasa memperkemaskan diari mahkamah.
Kejayaan mahkamah
Ketua hakim negara itu juga berkata resolusi kehakiman 2003 untuk menyelesaikan kes-kes sebelum tahun 2000 kini mula menampakkan kejayaannya.
"Sehingga Januari 2005, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret masing-masing berjaya menyelesaikan 73%, 85.1% and 90.1% kes-kes sebelum tahun 2000 yang tertangguh. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama mantap di antara pihak hakim pendakwa dan juga peguam," katanya.
Ahmad Fairuz memberitahu sidang akhbar selepas itu bahawa beliau mungkin mencadangkan perlantikan lebih ramai Pesuruhjaya Kehakiman (PK) untuk membantu Mahkamah Tinggi menyelesaikan kes-kes tertangguh.
"Kami bercadang untuk melantik lebih ramai PK dengan tujuan utamanya untuk mengurangkan kes-kes tertangguh. Kemudiannya kita akan lihat dan nilai prestasi mereka, jika pembawaannya sesuai, kita akan sahkan jawatan mereka sebagai hakim Mahkamah Tinggi," katanya.
Beliau juga memuji Suhakam kerana mengambil langkah-langkah membina dalam mengumpulkan semua pihak yang terbabit untuk berbincang dan mencari kaedah-kaedah untuk mempertingkatkan lagi prestasi sistem kehakiman negara.

