Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Babak Muhyiddin pertahan DAP boleh menang Oscar, kata portal Umno
Diterbitkan:  Aug 17, 2016 3:48 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

Tan Sri Muhyiddin Yassin berpotensi merangkul Oscar berhubung persembahannya sejak dipecat daripada Umno, kata portal yang memihak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Tiba-tiba kita dikejutkan oleh kenyataan dari orang kuat Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) ini apabila melahirkan rasa kesal dengan tuduhan bahawa DAP anti Melayu.

“360 darjah, begitulah pusingan yang dibuat oleh Muhyiddin, yang sebelum ini terkenal sebagai jaguh Melayu di dalam kepimpinan Umno sebelum ini.

“Rasanya, tidaklah perlu untuk penulis nukilkan disini, bagaimana Muhyiddin sebelum ini melihat DAP dari kacamatanya,” kata portal Mykmu.net.

Suatu ketika lalu, pengkritik, termasuk pemimpin DAP, sering menggambarkan bekas timbalan perdana menteri itu sebagai ultra Melayu.

Pernah satu ketika, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mencabar Muhyiddin untuk menyatakan sama ada beliau Melayu terlebih dahulu atau adalah rakyat Malaysia.

Menjawab cabaran itu, Muhyiddin menjawab: "Saya adalah Melayu terlebih dahulu tetapi tidak bermakna sebagai Melayu saya bukan rakyat Malaysia.”

Mengulas lanjut, portal pro-Umno itu mempersoalkan apa yang berlaku ke atas Muhyiddin.

“Apa sudah jadi dengan Muhyiddin? Masih terngiang tatkala melantunkan komentar selepas pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri, Muhyiddin berkata ‘saya Umno totok’, lantas menceritakan betapa Muhyiddin adalah seorang berjiwa Umno, yang seharusnya tahu segala muslihat dan helah politik khususnya dari DAP.

“Kini tidak lagi. Muhyiddin Yassin yang Umno pernah kenali sudah berubah menjadi satu susuk identiti yang kelihatan keliru dengan dirinya sendiri.

“Tidak salah untuk Muhyiddin memimpin parti yang berasaskan Melayu dan bumiputera kerana sememangnya itulah dirinya berdasarkan ketotokannya,” katanya.

Menurut Mykmu lagi, jika mahu melihat watak sebenar seorang ahli politik, lihatlah ketika dirinya tidak lagi bersama dengan partinya kerana itu petanda aras, tentang kebenaran akan keikhlasannya berjuang.

“Kita tertanya-tanya juga mengapa tiba-tiba Muhyiddin Yassin cuba meyakinkan rakyat bahawa dia adalah sahabat baik Anwar Ibrahim?

“Kenapa tiba-tiba Muhyiddin lahirkan kekesalan akan “tuduhan liar” bahawa DAP itu rasis. Satu persatu, dia sedang menyerlahkan siapa dirinya yang sebenar.

“Jika satu ketika dia melabelkan Anwar sebagai Raja Pembohong, kini ungkapan itu memburu dirinya sendiri.,” katanya.

Isnin lalu, Muhyiddin membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung kenyataannya mempertikaikan mengenai kerjasama antara BERSATU dan DAP.

Menurut bekas timbalan perdana menteri itu, Najib dan penyokong-penyokongnya menggunakan DAP untuk menakutkan orang Melayu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS