Terjemahan Beberapa cadangan pindaan terhadap Akta Kesatuan Sekerja 1959, telah menimbulkan kebimbangan di kalangan pemimpin kesatuan mengenai kemungkinan wujudnya percubaan untuk mengawal pergerakan buruh di negara ini.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia(MTUC), dalam makluman balas awalnya kepada Kementerian Sumber Manusia, telah membantah keras perubahan-perubahan utama yang dicadangkan, kerana bimbang ia menjadi Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja (DGTU) "orang paling berkuasa dalam halehwal buruh".

Pendirian MTUC itu dikemukakan secara bertulis kepada Kementerian Sumber Manusia pada 22 Mac lalu, yang dialamatkan kepada DGTU Mohd Zubir Mohd Basri. Salinannya juga dihantar kepada Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Dr P Manogran.

Cadangan pindaan tersebut juga dihantar kepada Persekutuan Majikan Malaysia dan gabungan kesatuan sekerja dalam sektor awam, Cuepacs, untuk mendapatkan maklumbalas mereka. Satu taklimat untuk wakil-wakil badan-badan berkenaan, diadakan bulan lalu.

MTUC menolak hampir separuh daripada 49 cadangan pindaan oleh pihak kerajaan. Sebaliknya kongres itu mahukan penjelasan tambahan, definasi jelas mengenai terma tertentu serta mengemukakan cadangan balas untuk dipertimbangkan, sebelum draf akhir pindaan disiapkan.

Kebimbangan utama MTUC adalah mengenai seksyen baru 57A yang memberi kuasa yang luas kepada DGTU untuk melakukan pemeriksaan, termasuk kuasa merampas daftar, buku, dokumen, barang dan artikel lain serta kuasa menyoal pegawai dan kakitangan kesatuan sekerja.

MTUC, yang mewakili lebih 200 kesatuan sekerja di sektor swasta, menyifatkan seksyen tersebut sebagai "cadangan yang zalim"

Dalam maklumbalas awalnya kepada DGTU itu, kongres itu menyifatkannya sebagai satu instrumen undang-undang yang mudah disalahgunakan serta bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi.

Ianya juga menyifatkannya sebagai satu intrumen yang bersifat untuk menakut-nakutkan, menganiaya, menganggu dan mengugut pegawai dan kakitangan kesatuan sekerja.

Menurut kongres itu lagi, seksyen tersebut juga 'merampas' (kuasa yang terkandung di dalam) Kanuan Prosidur Jenayah dan kuasa di bawah Akta Polis.

Bantahan khusus

MTUC turut menolak tambahan lima ceraian kecil pada Seksyen 57 mengenai keadah penyiasatan, saman dan rekod pernyataan, waran geledah dan kuasa DGTU untuk mengeledah dan merampas tanpa memerlukan waran. Seksyen 57 kini digunakan untuk tujuan penyimpanan dan pemeriksaan rekod dan akaun.

Kongres itu juga tidak bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Seksyen 38(3). Pada masa ini, ia memerlukan persetujuan lebih separuh ahli bagi meminda perubahan yang menyebabkan bertambahnya liabiliti ahli, kecuali pertambahan yuran bulanan ahli atau berkurangnya faedah yang ahli boleh nikmati.

Sambil membantah langkah memasukkan bayaran yuran dalam klaus tersebut, MTUC berkata cadangan itu tidak perlu dibuat langsung, kerana kerajaan, ketika akta itu digubal, bersetuju supaya tidak dimasukkan yuran bulanan.

Oleh itu, MTUC menyifatkan cadangan tersebut sebagai "satu langkah ke belakang".

Ia juga tidak bersetuju dengan cadangan untuk meminda Section 34(2) yang memberi kuasa kepada DGTU untuk menolak pendaftaran mana-mana kesatuan sekerja jika nama yang dicadangkan tidak mencerminkan skop keahliannya.

Ketika menolak pindaan itu, MTUC berkata: "Adalah mustahil untuk mengaitkan kedua-dua 'nama' dan 'skop'...kerana ia (membawa) makna yang berbeza."

"Pindaan seumpama ini akan mendedahkan kesatuan sekerja dan Jabatan Hal-Ehwal Kesatuan Sekerja kepada tindakan undang-undang oleh majikan-majikan yang tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan interpretasi oleh mahkamah."

Bagi kongres tersebut, 'nama' adalah nama ringkas kesatuan sekerja manakala 'skop' pula akan mengandung butir-butir terperinci mengenainya.

Sambil menyebut mengenai kemungkinan orang awam dikelirukan, MTUC juga mahu supaya digugurkan penggunaan perkataan 'Sdn Bhd' daripada nama kesatuan sekerja dalaman.

"(Perkataan seumpama itu boleh) mengelirukan orang ramai dan badan-badan awam yang lain (yang mungkin menyangka) bahawa (kesatuan sekerja dalaman merupakan syarikat swasta yang didaftarkan di bawah Pesuruhjaya Syarikat Malaysia."

MTUC juga tidak bersetuju dengan cadangan untuk memansuhkan Seksyen 28(1)(b), berkaitan dengan perlantikan pegawai kesatuan sekerja. Menurutnya, tempoh kelayakan adalah diperlukan untuk memastikan calon-calon terbabit adalah tulen dan tidak didorong oleh 'motif-motif tersembunyi".

Mengenai cadangan untuk memansuhkan Seksyen 28(1)(d), yang menggariskan faktor-faktor yang membatalkan kelayakan seseorang ahli memegang jawatan dalam kesatuan sekerja, kongres itu menegaskan: "Kesalahan-kesalahan teknikal tidak sepatutnya digunakan untuk menghalang (seseorang individu) haknya dan kebebasan atau melucutkan hak mengundi seseorang itu."

Cadangan tersebut bertujuan untuk meluaskan lagi syarat-syarat untuk membatalkan kelayakan, sebagai tambahan kepada peruntukan yang meliputi pengurusan aset, tabung dan pelaburan kesatuan sekerja.