Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan orang ramai berkaitan peranan wanita untuk sama-sama membangunkan negara ini.

Katanya, sumbangan kaum hawa tidak hanya terkekang dalam bidang kekeluargaan semata-mata.

“Sumbangan wanita diiktiraf bukan sahaja dalam sebuah keluarga malahan wanita adalah nadi yang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” tulisnya di Twitter.

Beliau berkata demikian ketika mengingatkan pembaca maya berkaitan kandungan khutbah Jumaat kelolaan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) hari ini. “

Khatib hari ini tegaskan, Islam menitikberatkan kesamaan hak, tanggungjawab dan kewajipan antara lelaki dan wanita tanpa sebarang diskriminasi,” katanya.

Khutbah Jakim hari ini bertajuk “Sepadu usaha: tiada wanita ketinggalan”.

Ia antaranya menyebut tiada diskriminasi jantina dalam Islam, antaranya dengan memetik ayat-ayat al-Quran yang menyebut secara khusus kaum wanita di samping lelaki.

Mimbar berkata, ramai tokoh-tokoh Islam pelbagai bidang lahir daripada kalangan kaum itu, termasuk Saidatina Khadijah (usahawan), Saidatina Aishah (pendidik) dan Rufaidah binti Sa’ad al-Bani Aslam al-Khazraj (jururawat dan sukarelawan wanita).

Khutbah juga berkata langkah kerajaan menganjurkan Hari Wanita Kebangsaan setiap 25 Ogos wajar untuk memberi pengiktirafan ke atas sumbangan wanita.

“Jelasnya, wanita dan lelaki sama-sama mempunyai peranan istimewa dan amat penting dalam meraih rahmat Allah.

“Bahkan dalam sesetengah keadaan peranan wanita lebih penting, malah mengatasi peranan lelaki, terutama dalam bidang yang didominasi oleh kaum wanita,” menurut mimbar.

Teks khutbah juga menjelaskan bahawa Malaysia memberikan komitmen untuk memastikan pergerakan pantas ke arah kemajuan wanita dan kesaksamaan gender tanpa meninggalkan seorang pun.

Katanya, Islam menitikberatkan kesamaan hak, tanggungjawab dan kewajipan antara lelaki dan wanita serta menghalang sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita.