Para pemimpin dang ahli-ahli Umno diingatkan agar tidak alpa dan jangan memandang remeh penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), kata Datuk Jailani Johari.

Beliau yang merupakan timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Terengganu berkata, pimpinan dan ahli parti itu harus bekerja lebih kuat bagi memastikan pengaruh BERSATU tidak menular khususnya di Terengganu.

“Saya menyeru kepada semua pihak (pemimpin) dan anggota Umno supaya tidak leka dan memandang remeh akan penubuhan parti itu dan kita haruslah lebih bekerja kuat,” ujar beliau, memetik laporan Umno Online.

Jailani berkata demikian semasa berucap pada persidangan perwakilan sayap wanita, pemuda dan puteri Umno bahagian Hulu Terengganu.

Persidangan tersebut dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak selaku Bendahari Umno.

Semalam, anggota jawatankuasa protem BERSATU, Syed Saddiq Abdul Rahman berkongsi cerita ada individu tidak dikenali menghampirinya bagi meminta borang keahlian.

Katanya lagi, perkara itu berlaku walaupun BERSATU masih menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) selepas menghantar permohonan pada 9 Ogos lalu.

Justeru, tambah Syed Saddiq, pihaknya menjangka sambutan yang bakal diterima oleh parti itu amat menggalakkan.

Mengulas lanjut, kata Jailani yang juga timbalan menteri komunikasi dan multimedia, bagaimanapun pihaknya yakin BERSATU tidak akan berkekalan dan akan berkubur.

“Saya yakin parti baharu tersebut akan terkubur pada PRU14 (pilihan raya umum ke-14) nanti seperti yang pernah berlaku kepada parti Semangat 46,” katanya.