Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri minta mahasiswa, universiti miliki 'minda emas'

Mahasiswa dan universiti perlu memiliki 'minda emas' yang akan menentukan kejayaan seseorang individu atau organisasi di
masa hadapan, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Mengambil contoh semangat jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang yang memenangi gangsa di Sukan Olimpik Rio, beliau berkata anak muda itu telah mempamerkan minda emas sehingga berjaya memperoleh pingat.

"Bagaimana minda boleh menentukan masa depan kita. Saya tertarik dengan satu personaliti yang saya selalu sebut iaitu Arnold Schwarzenegger, bekas gabenor California di mana wujudnya universiti Stamford, Berkeley dan di mana wujudnya Silicon Valley yang wujudnya ramai profesor.

"Siapa Arnold Schwarzenegger. Dia datang daripada keluarga miskin daripada Austria dan bukan mempunyai pendidikan tinggi, bahasa Inggeris pun tak seberapa.

Tapi Arnold jadi jaguh olimpik dalam bina badan kerana minda dia berkata demikian, begitu juga dengan Azizul," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian serentak Bengkel Pemikiran Profesor Dalam Membentuk Bangsa Melayu Pasca 2020 dan Institut Kepimpinan dan Pembangunan Universiti Teknologi Mara, di Nilai hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said dan Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Tenaga Manusia Petronas, Datuk Raiha Azni Abd Rahman.

Idris turut menarik perhatian dengan apa yang diluahkan Azizul kepada
jurulatihnya selepas memenangi gangsa.

"Saya terkejut apabila Azizul dapat pingat gangsa, dia kata maaf kepada
jurulatihnya, saya tidak boleh bagi kamu emas. Ini kerana Azizul mempunyai minda emas.

"Dalam hal ini, untuk berjaya bukan lagi tertumpu pada kekuatan fizikal,
tapi juga kekuatan mental. Yang menentukan siapa pemenang, perlu ada minda emas, bukan minda perak atau gangsa," katanya.

Menjelas lanjut sidang media kemudiannya, Idris menjelaskan bahawa
minda emas bukan sahaja perlu dimiliki oleh golongan atlet, sebaliknya semua rakyat di negara ini.

"Apa yang berlaku bermula dengan minda kita sendiri. Kalau minda kita
hebat, apa juga yang kita lakukan insya-Allah kita akan capai pencapaian yang cemerlang," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS