Terjemahan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan pihak-pihak yang berkempen menentang kawalan moral bahawa tindakan mereka itu bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, tindakan mereka itu tidak mempunyai sebarang implikasi positif tetapi berpotensi mencetuskan suasana huru-hara dalam masyarakat Islam.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau juga memandang berat memorandum oleh 50 badan bukan kerajaan (NGO) dan 200 individu baru-baru ini yang antara lain mempertikaikan "peranan negeri dalam mendefinasi dan mengawal moraliti rakyatnya dan penggunaan undang-undang hukuman agama dan majlis perbandaraan".

"Memorandum ini dilihat sebagai satu usaha untuk memansuhkan peruntukan-peruntukan dalam undang-undang Syariah dan undang-undang majlis perbandaraan yang berpotensi mencetuskan suasana hura-hara.

"PAS ingin mengingatkan semua pihak bahawa Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas berkenaan Enakmen Syariah di bawah bidangkuasa kerajaan negeri yang meletakkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai pelindung kedudukan Islam di setiap negeri di bawah persekutuan," katanya.

Abdul Hadi juga memandang berat perkara tersebut kerana memorandum itu bukan sahaja disokong oleh kokus Parlimen mengenai hak asasi manusia, tetapi juga beberapa orang menteri.

"Saya mendesak kerajaan supaya memikirkan semasak-masaknya tentang impliksi negatif dalam menyokong memorandum berkaitan kerana ia memberi kesan langsung terhadap impak sosial dan agama, ditambah dengan kegawatan keruntuhan moral dan kadar jenayah yang semakin parah," katanya.

Beliau juga mendesak NGO dan individu terbabit supaya memikirkan secara serius hasrat mereka kerana agenda mereka jelas bertentangan dengan semangat perlembagaan yang membenarkan amalan beberapa aspek perundangan Syariah dan prinsip-prinsip moral bagi umat Islam.

"Sementara PAS masih bersedia dengan mana-mana juga kumpulan dalam masyarakat sivil berhubung isu-isu yang bersangkutan dengan 'kawalan moral' sepertimana dianjurkan oleh Islam, kami tidak akan berkompromi dalam mempertahankan kedudukan Islam yang sudah sedia terpinggir dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Konsepsi yang silap

Beberapa ahli Parlimen Gerakan dan Umno telah menyokong memorandum itu apabila kumpulan berkenaan pergi ke Parlimen minggu lalu, antaranya ialah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said.

Pada 20 Januari lalu, kira-kira 100 pengunjung Islam, termasuk wanita, telah ditahan oleh pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam satu serbuah ke sebuah disko di Kuala Lumpur.

Serbuan tersebut mendapat perhatian ramai selepas mereka yang ditahan itu mendakwa menerima layanan buruk daripada pegawai Jawi termasuk tidak membenarkan seorang wanita yang ditahan itu ke bilik air.

Naib Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat, Shamsul Iskandar Mohd Akin juga bersetuju dengan sentimen presiden PAS itu dan berkata kempen menentang kawalan moral itu dibuat berdasarkan kepada konsepsi yang silap mengenai moral peribadi dan awam.

"Sementara kita menegaskan komitmen kita terhadap kebebasan asas individu yang termasuk, tetapi tidak dihadkan kepada hak peribadi seseorang dan kebebasan bersuara kami berpegang pada pandangan, dalam kehidupan awam seseorang itu, penilaian yang cermat perlu dibuat dalam mengimbangi moral awam dan peribadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, tatkala pelaksanaan soal moral peribadi hendaklah diserahkan kepada pertimbangan dan kepercayaan individu, negara dan masyarakat sivil pula mempunyai tanggungjawab bersama untuk menjaga moral awam.