Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan jadi boneka pembangkang, kata proaspirasi
Diterbitkan:  Aug 25, 2016 3:56 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Persatuan Alumni Mahasiswa Aspirasi Malaysia mengingatkan golongan itu supaya tidak termakan dakyah politik pembangkang dengan menyertai perhimpunan #Tangkap MO1 di ibu kota Sabtu ini.

Presidennya Mohd Shahar Abdullah turut mengingatkan mahasiswa bahawa mereka akan 'menanggung risiko dan kehancuran masa depan' jika sebarang tindakan dikenakan terhadap mereka.

"Pelajar terutamanya mahasiswa yang sedang menuntut di mana-mana universiti awam dan swasta diingatkan supaya tidak termakan dakyah politik pembangkang yang sedang mencuba pelbagai cara termasuk 'membonekakan' pelajar demi kepentingan politik dan peribadi mereka.

"Jika benar anda sebagai mahasiswa ingin memperjuangkan sesuatu untuk kesejahteraan bersama, mengapa perlu di jalan raya dan bukan untuk mengambil tanggungjawab menyelesaikan masalah gejala sosial atau membantu golongan kurang bernasib baik?," soalnya dalam satu kenyataan media.

Mahasiswa Pro-Aspirasi adalah kumpulan mahasiswa yang cenderung menyokong kerajaan.

Mohd Shahar berkata, mahasiswa yang terlibat dalam himpunan Sabtu ini harus sedar apa yang dilakukan dan tujuan penganjuran himpunan itu. 

"Adakah mereka benar-benar faham dengan permintaan himpunan itu, atau sekadar laungan yang menjadi ikutan, adakah mereka faham dengan desakan yang dilakukan dan adakah mereka sedar kesan kepada masyarakat sejagat di masa hadapan?," soalnya.

Menurutnya lagi, beliau percaya mahasiswa yang ingin menyertai himpunan itu sekadar untuk menunjuk perasaan dan bukan memiliki jati diri untuk memperjuangkan nasib rakyat.

"Oleh kerana terlalu mudah percaya dengan hasutan dan propaganda rekaan sesetengah pihak yang sentiasa memburukkan kepemimpinan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mereka juga diheret sama dalam menjayakan agenda politik luaran ini.

"Meskipun kita sedia maklum bahawa mereka yang menganjurkan perhimpunan ini bukanlah mewakili seluruh mahasiswa dalam negara, perkara ini sedikit sebanyak mengganggu gugat keamanan negara lebih-lebih lagi melibatkan modal insan negara," katanya.

Sebelum ini sekumpulan mahasiswa yang dikenali sebagai “Gabungan #TangkapMO1” mahu menganjurkan himpunan itu bagi menggesa tindakan terhadap individu yang disebut dalam dokumen Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

MO1 adalah singkatan kepada Malaysian Official 1, yang disebut sebanyak 36 kali dalam dokumen mahkamah yang difailkan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berhubung dakwaan salahguna dana 1MDB.

DOJ percaya lebih AS$ 3.5 bilion dicuri daripada dana negara itu dan sekurang-kurangnya AS$ 731 juta wang berkenaan dimasukkan ke akaun peribadi MO1.

Lihat Komen
ADS