Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mayat dijumpai dalam bagasi di perangkap sampah
Diterbitkan:  Aug 27, 2016 6:28 AM
Dikemaskini: 10:30 PM

Mayat wanita yang sudah reput dijumpai dalam sebuah bagasi beroda yang tersangkut pada perangkap sampah Sungai Klang di Jalan Harper, Bandar Baru Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohd Yusoff Mamat berkata ia ditemui seorang pekerja pembersihan pada kira-kira pukul 1 tengah hari.

Beliau berkata bagasi mengandungi mayat yang tiada pengenalan diri itu disyaki dibuang di tempat lain sebelum dihanyutkan sehingga ke perangkap sampah berkenaan.

"Mayat wanita itu ditemui memakai singlet dan berskirt labuh warna hijau. Dia juga memakai pendakap gigi, berkulit cerah dan berambut panjang keperangan hingga ke paras bahu," katanya kepada pemberita di Klang semalam.

Katanya anggota badan wanita berkenaan diikat rapat disyaki untuk dimuatkan ke dalam bagasi berwarna hitam itu. Mangsa berketinggian 157sm dengan anggaran berat 50 kilogram dan dianggarkan berusia dalam 30-an.

Mohd Yusoff berkata mangsa dipercayai seorang warga tempatan berikutan terdapat kesan suntikan BCG pada lengan kirinya dan pemeriksaan lanjut menemui bekas jahitan 'caesarean' di perut.

Hasil bedah siasat di Hospital Shah Alam menunjukkan tiada kesan tikaman, tetakan atau luka dan tidak dapat dipastikan sama ada mangsa dirogol sebelum dibunuh kerana keadaan mayat yang reput dan sukar diperiksa.

Mana-mana individu yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan polis dengan menghubungi pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, ASP Ahmad Osman di talian
012-6794297.

- Bernama

Lihat Komen
ADS